KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memberikan diskaun untuk bayaran kompaun kesalahan trafik sepanjang bulan Februari ini sempena Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada 1 Februari.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata dengan pemberian diskaun selama sebulan itu, bayaran kompaun dikurangkan kepada RM30 bagi setiap kesalahan.

Kompaun trafik yang terlibat ialah kompaun yang dikeluarkan sebelum 1 Mac 2011 kebanyakannya melibatkan kesalahan trafik, katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Jom Kibar Bendera sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 di sini hari ini.

Setiap kesalahan trafik biasanya dikenakan kompaun sebanyak RM100 seperti kesalahan lalu lintas, halangan berada di kawasan garisan kuning, halangan berada di siar kaki dan meletakkan kenderaan di kawasan bukan parkir yang asal.

Beliau berkata adalah menjadi kelaziman pada setiap kali sambutan Hari Wilayah, pihak kementerian serta agensi-agensi di bawahnya akan memberikan buah tangan istimewa kepada rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan - Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Dewan serba guna di bawah pengurusan DBKL akan diberikan sewaan percuma kepada rakyat pada setiap hujung minggu di sepanjang bulan Februari (Bagaimanapun, tidak layak bagi sewaan dewan untuk majlis perkahwinan serta penggunaan kolam-kolam renang).

"Turut diberikan bayaran percuma kepada rakyat adalah penggunaan gelanggang futsal, gelanggang boling padang, padang ragbi serta dewan serba guna sama ada yang diurus tadbir oleh pihak kerajaan mahupun swasta pada setiap hujung minggu di ibu negara," katanya.

Kempen kibar bendera itu dianjurkan bertujuan untuk mempromosi bendera Wilayah Persekutuan kepada semua rakyat agar lebih dikenali, selain bendera diedar secara percuma untuk menggalakkan warga Wilayah mengibarkan bendera di rumah, premis perniagaan dan kenderaan sepanjang sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Sebanyak 50 ribu bendera akan diedarkan untuk ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Samsudin Osman dan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Hasim Ismail.

Beliau berkata Perbadanan Putrajaya akan turut terlibat memberikan buah tangan istimewa kepada rakyat.

"Perbadanan Putrajaya akan menawarkan kupon percuma bagi lawatan ke Taman-taman Awam di Putrajaya serta diskaun 30 peratus kepada pemegang-pemegang MyKad Wilayah Persekutuan untuk perkhidmatan Cruise Tasik Putrajaya.

"Selain itu pengunjung Putrajaya juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan lawatan berpandu ke tempat-tempat menarik sekitar Putrajaya dengan menaiki bas Nadi Putra secara percuma pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang Februari bermula dari i-Centre, Dataran Putra," katanya.

Beliau berkata penduduk Wilayah Persekutuan Labuan turut berpeluang untuk menggunakan kemudahan awam seperti gelanggang futsal, gelanggang boling padang, padang ragbi dan dewan serba guna secara percuma selama dua minggu pada bulan Februari ini.

Menurutnya lagi bagi warga kota Kuala Lumpur, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan memberikan diskaun lima peratus untuk bayaran cukai tanah secara online serta pengurangan 50 peratus tunggakan denda 2012.

"Banyak lagi tawaran-tawaran istimewa oleh semua agensi di bawah kementerian kepada semua warga Wilayah Persekutuan, maklumat tersebut boleh diperolehi daripada pejabat-pejabat agensi atau melayari laman-laman web agensi berkaitan," katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan, tahun ini merupakan perayaaan kali kelapan yang menggabungkan ketiga-tiga wilayah tersebut sejak wujudnya Kementerian Wilayah Persekutuan pada 27 Mac 2004.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM308 juta bagi menyediakan 2.2 juta set dekoder percuma kepada golongan berpendapatan rendah untuk menikmati perkhidmatan televisyen terestial digital (DTT) myFreeview.
  • KUALA LUMPUR - Harga runcit mingguan bagi petrol RON95, RON97 dan diesel, berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini bagi tempoh 22 Julai hingga 2 Ogos ini, meningkat berbanding minggu lalu.