[KEMASKINI] KUALA LUMPUR - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memuji tindakan polis yang membuka kertas siasatan susulan laporan dibuat Datin Seri Rosmah Mansor terhadapnya.

Menurutnya, ia menunjukkan polis tidak terikat dengan kehendak politik walaupun laporan dibuat oleh bukan pemimpin kerajaan.

Katanya, situasi itu berbeza dengan keadaan sebelum ini apabila beliau disiasat dalam perkara yang berkepentingan awam.

“Apabila pihak yang tewas (iaitu Umno) membuat laporan terhadap seorang pemimpin Pakatan Harapan, walaupun ia berkenaan kes yang sudah diketahui umum (berlian dan barang kemas), pihak polis tetap membuka kertas siasatan untuk menyiasat saya. Ini yang sepatutnya berlaku.

“Semua aduan dan laporan tidak kira dari siapa, yang kaya, yang miskin, yang menang dan yang tewas perlu disiasat. Bunyinya pelik, tetap saya berasa puas hati bila dipanggil pihak polis kali ini untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, beliau akan memberi keterangan di IPD Sentul, Jumaat ini.

Katanya, sebelum ini penyokong Umno dan Pas selalu menuduh pihak berkuasa terutamanya polis, pendakwa raya dan hakim tunduk kepada kemahuan Pakatan Harapan.

“Banyak komen memberi contoh bagaimana kes-kes melibatkan pimpinan Harapan digugurkan satu per satu, kononnya akibat campur tangan ini. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak orang lain, tetapi boleh berkongsi pengalaman sendiri.

“Saya memilih untuk tidak membuat apa-apa rayuan atau perbincangan dengan mana-mana pihak (baik peguam, pendakwa raya, menteri atau pegawai) untuk kes-kes saya kerana saya tidak setuju dengan campur tangan dalam pentadbiran undang-undang di negara ini,” katanya.

Pada 20 April lalu, Rosmah dalam satu majlis Wanita BN di Lembah Pantai hari ini, bertegas beliau hanya melihat cincin itu tetapi tidak membelinya.

Rosmah berkata, cincin dimaksudkan itu sebenarnya hanya untuk pameran dan tidak dijual malah hairan bagaimana Rafizi memperoleh borang Jabatan Kastam ketika cincin itu dibawa masuk tetapi tiada borang ketika ia dibawa keluar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah hanya lihat, tak beli barang kemas]

Dalam perkembangan terbaru, sebuah portal tempatan melaporkan, seorang tukang emas borong terkenal dari Lubnan memfailkan saman AS$14.79 juta (RM59.831 juta) terhadap Rosmah bulan lalu atas penghantaran 44 barangan kemas yang dihantar kepadanya pada Februari.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes saman tukang emas Lubnan: Kerajaan akan mencelah]

Pada 17 Mei pula, Firma guaman mewakili 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di dalam saman bekas Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set rantai leher termasuk berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB, telah menarik diri daripada mewakili 1MDB.   

Peguam Datuk Tan Hock Chuan mewakili 1MDB memberitahu, firma guaman itu, Tan Hock Chuan & Co memohon menarik diri daripada mewakili syarikat itu kerana mereka tidak mendapat arahan daripada 1MDB.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peguam tarik diri kes rantai, berlian Rosmah]