PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujud campur tangan politik dalam keputusan pembatalan permit dialog antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan membatalkan permit debat di Kuala Kangsar dan Shah Alam itu dibuat sepenuhnya oleh Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat dan Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

"Ia keputusan pengoperasian dan tidak dirujuk kepada saya sebagai Menteri Dalam Negeri apatah lagi kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita semasa lawatannya ke The International Modern Arabic School, di sini hari ini.

Ditanya sama ada keputusan itu akan dikaji semula, Ahmad Zahid berkata beliau sedia meneliti arahan-arahan Ketua Polis Selangor dan Pemangku Ketua Polis Perak berhubung pembatalan permit itu serta alasan yang diberikan.

"Saya perlu mengkaji alasan-alasan kenapa debat itu dibatalkan. Jika kami rasa debat itu perlu diteruskan, kami akan minta polis beri permit," katanya.

Bagaimanapun, jika pihak polis menasihatkan supaya debat itu tidak diteruskan, beliau akan menghormati cadangan dan keputusan tersebut, kata Ahmad Zahid.

Ahad lepas, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff dilaporkan sebagai berkata debat antara Dr Mahathir dan Mohamed Nazri di Kompleks Karangkraf, Shah Alam yang dijadualkan pada 7 April ini dibatalkan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Sebelum itu, debat di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kati, Kuala Kangsar yang dijadualkan pada 25 Mac lepas turut dibatalkan oleh Polis Perak atas faktor yang sama. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menggunakan hasil kutipan daripada cukai pelancongan yang dikuatkuasakan 1 Julai ini untuk mempromosikan Malaysia di luar negara dan membaik pulih prasarana pelancongan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
  • SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa sedih terhadap penjualan 49.9 peratus ekuiti Proton Holdings Bhd kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely Holding).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.