KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menafikan memberikan tender penganjuran Ekspo Negaraku kepada syarikat milik abangnya.

Menurut Abdul Rahman, beliau tidak ada apa-apa pertalian kekeluargaan mahupun persahabatan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pico Integrated Exhibition Sdn Bhd, Nooraslan Mohd Dahlan yang merupakan kontraktor pelaksana ekspo berkenaan.

"Saya nafikan sekerasnya tuduhan Rafizi kononnya saya menyalahguna kuasa sebagai menteri dengan melantik syarikat milik 'abang' saya sebagai kontraktor pelaksana Ekspo Negaraku.

"Rafizi dengan sombongnya mengulangi tuduhan itu. Nooraslan Mohd Dahlan tidak mempunyai apa-apa pertalian darah mahupun kawan walaupun kami mempunyai nama bapa yang hampir sama.

"Jangan sesekali cuba libatkan agensi seperti ini yang bertungkus lumus merancang pembangunan negara," katanya dalam sidang media hari ini.

Rafizi sebelum ini mengaku telah membuat semakan maklumat berkenaan penganjuran ekspo berkenaan sebelum pendedahan dibuat menerusi sidang media Invoke Malaysia, kira-kira jam 1.30 tengahari, hari ini.

"Syarikat yang bertanggungjawab menguruskan ekspo tersebut adalah syarikat Pico Integrated International Sdn Bhd," katanya menerusi siaran langsung Facebook Live Invoke Malaysia, hari ini.

Menurutnya, beberapa semakan dan maklumat yang dilakukan membuatkan beliau yakin individu bernama Nooraslan Mohd Dahlan, yang mana Ketua Pegawai Eksekutif Pico Integrated Exhibition Sdn Bhd, merupakan abang kepada Abdul Rahman.

"Penganjuran Ekspo Negaraku yang melibatkan perbelanjaan yang besar telah dikendalikan oleh 'abang' kepada Abdul Rahman.

"Abdul Rahman adalah menteri bertanggungjawab terhadap penganjuran Ekspo Negaraku yang berlangsung selama sebulan bermula 15 November hingga 15 Disember," katanya lagi.

Bagaimanapun semakan Sinar Online mendapati video sidang media tersebut telah pun diturunkan daripada Facebook Invoke dan Rafizi kurang sejam selepas bersiaran.

Rafizi menerusi petikan dalam video itu yakin Abdul Rahman akan 'kurus' pada minggu ini selepas menonton pendedahan yang dibuat olehnya.

"Saya yakin Abdul Rahman akan kurus sedikit pada minggu ini kerana pening memikirkan pendedahan yang saya buat.

"Abdul Rahman perlu berdepan dengan rakyat dan menjelaskan kewajaran mengeluarkan berpuluh juta ringgit untuk menganjurkan ekspo ini," ujar Rafizi lagi.

Sehubungan itu, Abdul Rahman memutuskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah yang disebarkan Rafizi.

"Saya bincang dengan peguam untuk mengambil tindakan terhadap Rafizi.

"Gaya dan lenggoknya, body language Rafizi terlalu yakin dengan dakwaannya yang dibuat terhadap saya, kalau orang tak tahu, orang akan termakan dengan pembohongan Rafizi," katanya lagi.