KOTA BHARU - Susulan isu salah tafsir konsep menjaga agama, Dewan Ulama Pas Pusat menyeru pemimpin utama kerajaan supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan berkaitan prinsip yang ada dalam Islam.

Ketua Penerangannya, Mohd Asri Mat Daud berkata, peringatan itu sangat penting agar sebarang pandangan selepas ini tidak mengelirukan dan menjadi salah faham dalam kalangan umum sehingga mendatangkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum.

Menurutnya, Islam hendaklah diberi kedudukan tertinggi dan penjagaan yang sempurna sehingga ia tertegak di Malaysia sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Jelas sekali melalui ucapan seorang menteri bahawa beliau berpegang kepada pemikiran perlunya dijaga semua agama yang ada dan tidak hanya terhad kepada agama Islam sahaja.

“Kenyataan ini jauh tersasar daripada pandangan Jumhur Ulama yang menegaskan bahawa al-Din dalam maksud hifzu al-Din ialah menjaga Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Dr Mujahid Yusof  berkaitan hifzu al-Din menjadi tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi umum.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, perbincangan berkaitan hal itu sudah lama diutarakan dalam disiplin ilmu Maqasid Syar’iyyah ditulis oleh ramai ulama yang muktabar.

“Para ulama telah membincangkan berkenaan maksud hifzu al-Din iaitu ia suatu istilah digunakan oleh para ulama fiqh bagi menjelaskan maksud memelihara agama dalam konteks maqasid syari’yyah. Agama yang dimaksudkan ialah Islam, iaitu agama yang direda,” katanya.

Justeru katanya, dengan menjaga agama Islam bermakna umat Islam dengan sendirinya menjaga Dharuriyyat al-Khamsah yang menjadi kewajiban umat Islam menjaganya iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.

“Imam al-Syathibi yang terkenal dengan bapa maqasid membahagikan urusan pemeliharaan kesucian agama Islam kepada dua aspek iaitu memastikan ajaran Islam dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Keduanya agama Islam wajib dilindungi daripada diseleweng dan dimusnahkan dengan memastikan penganutnya menjauhi dosa kecil, dosa besar dan sebarang perkara yang membawa kepada syirik,” katanya.

Maka katanya, di sinilah lahirnya maksud yang sebenar hifzu al-Din iaitu pemeliharaan kesucian agama Islam dengan memastikan ia didaulatkan dan diamalkan serta dilindungi daripada sebarang bentuk syirik dan pencemaran.

“Adapun agama selain Islam diberi kebebasan untuk diamalkan tanpa sebarang diskriminasi. Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk memeluk Islam dan hak untuk beribadat diberi kebebasan sepenuhnya tetapi ia tidak termasuk dalam maksud hifzu al-Din yang mensyaratkan suatu penjagaan rapi dengan tidak dicemari daripada sebarang kesyirikan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, tidak bolehlah disabitkan hifzu al-Din dengan agama selain Islam.