Derita Balqis mula dapat perhatian
Zuleha menunjukkan surat tertera jumlah perbelanjaan perubatan Balqis yang perlu mereka tanggung.

MUAR – Sepasang suami isteri terharu dengan sumbangan dan keprihatinan orang ramai serta jabatan kerajaan sejak kisah Nur Farah Athirah Balqis Razak, 3, yang menghidap penyakit jantung berlubang dan mempunyai masalah dua saluran injap jantung sempit dipaparkan di Sinar Harian, pada 27 Jun lalu.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Zuleha Yahya, 44, berkata, orang ramai mula menghubunginya bagi mengetahui situasi sebenar dan sehingga semalam, kira-kira RM600 sudah diterima melalui akaun banknya.

“Keluarga saya juga didatangi beberapa pegawai daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij) Daerah Muar, dan menyarankan saya memohon bantuan khas yang disediakan pihak mereka.

“Pegawai berkenaan meminta saya mengisi borang berkaitan dengan segera agar proses permohonan dapat dilakukan sebelum pembedahan yang dijadualkan 16 September ini,” katanya.

Sementara itu, bapa Balqis, Razak Manap, 54, berkata, pada masa ini, anaknya masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sebanyak empat kali seminggu, selain rawatan berterusan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia bimbangkan keadaan kesihatan anak bongsu daripada tujuh beradik itu kerana bertambah aktif sejak pandai berjalan kira-kira dua bulan lalu.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada yang sudi membantu, dan apa yang kami harapkan ialah Balqis selamat menjalani pembedahan nanti,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kewangan, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Zuleha, 04106-29-00047268-5 atau menghubungi 012-923
8215.