KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan mengapa Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia tidak keluarkan amaran dan siasat dalang di sebalik Harapan Coin.

Dalam catatan di laman Facebooknya, beliau menegaskan pihak berkaitan perlu dedahkan nama dalang-dalang tersebut satu-persatu.

Malah, beliau juga mempersoalkan siapakah yang memantau dan mengaudit Harapan Coin.

“Khalid Samad mengakui dia dan rakan-rakan terlibat dalam projek Harapan Coin. Bagus. Kita buat ulang kaji sedikit.

“Pertama, Khalid Samad cadangkan Harapan Coin diguna dalam transaksi rakyat dengan kerajaan.

“Kedua, Khalid Samad dalam video kata Harapan Coin yang rakyat beli, 30 peratus diberi kepada developer (pemilik skim), 30 peratus diberi kepada Amanah dan 40 peratus diberi kepada PH,” katanya.

Tidak terhenti di situ, Najib turut mengaitkan mata wang kripto itu dengan Lavida Coin yang disenaraikan antara 424 syarikat dalam Amaran Penggunaan Kewangan.

“Ingat Lavida Coin? Setahu saya, Bank Negara telah menyenaraikan 423 syarikat dalam Amaran Penggunaan Kewangan. Ini termasuklah pengendali terbitan matawang kripto.

“Lavida Coin antaranya. Kini, Khalid Samad bersungguh-sungguh mahu Harapan Coin dilaksanakan.

“Belum pun dapat kelulusan, platform laman web dan penjualan telah aktif beroperasi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, rakyat berhak tahu untuk menilai sendiri dan berwaspada dengan menteri dan kawan-kawan 30 peratus ini.