SHAH ALAM - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dirombak semula termasuk budaya rasuah tinggalan pentadbiran yang lama di organisasi berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, rombakan berkenaan perlu bagi memastikan DBKL dapat memainkan peranan sepertimana yang diinginkan.

Bagaimanapun menurutnya, rombakan berkenaan tidak membawa maksud tiada khidmat orang Melayu dalam DBKL, namun keutamaannya adalah kepada orang Melayu yang benar-benar membantu rakyat dan menyelesaikan masalah Kuala Lumpur.

"Kita sibuk nak Melayu, nak Melayu tapi apa guna kita letak Melayu tapi yang Melatu ini tak tolong Melayu. Dia bukan sekadar kita nakkan Melayu tapi kita perlukan Melayu yang akan memberikan khidmat dan membantu orang Melayu tang lain.

"Kenyataan Tun Daim (bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin) yang berkata DBKL gagal membantu masyarakat Melayu di bandar adalah berdasarjan daripada keadaan yang ada sekarang... setelah 61 tahun merdeka orang Melayu masih lagi tak dapat satu kedudukan sepertimana yang kita inginkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440 Hijrah Peringkat MPP Zon 2 di Madrasah Hidayah Seksyen 11, di sini, malam ini.

Khalid berkata, bukan sekadar DBKL sahaja yang ada Melayu tetapi mereka (Melayu) tidak membantu kerana budaya kerja telah dirosakkan dan budaya rasuah yang diajar oleh pentadbiran lama telah menjadi satu budaya.

Menurutnya, atas dasar itu, pihaknya akan merombak struktur dalaman DBKL namun rombakan berkenaan tidak bertujuan untuk melemahkan semangat semua orang.

"Kita faham budaya itu mereka mengikuti budaya yang wujud dan kita mahu tamatkannya. Kita mahu mulakan budaya baru dan kita pilih pemimpin pentadbir yang boleh mainkan peranan.

Sementara itu ketika mengulas mengenai calon Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu Khalid menyatakan terdapat tiga calon yang telah dicadangkan.

"Kita akan putuskan selepas pertengahan bulan ini dan calon ini hanya akan diumumkan selepas dipilih. Kita lihat calon yang ada sifat, ciri yang kita perlukan untuk menentukan DBKL dapat dijalankan dan diuruskan seperti mana yang dimahukan.

Dalam perkembangan lain, Khalid menyatakan dua hari lagi beliau akan membuat sidang media berhubung transaksi lebih 90 tanah yang meragukan di sekitar Kuala Lumpur.