KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji semula dasar pendidikan negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri berkenaan Dr Maszlee Malik berkata  jawatankuasa itu berperanan untuk mengkaji semula falsafah dan dasar pendidikan negara termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat universiti.

“Ia juga meliputi kesedaran sivik dan juga pembentukan nilai-nilai murni serta pengukuhan sains dan teknologi,” katanya ketka menjawab soalan  Ahmad Faizal Azumu (PH-Tambun) mengenai hala tuju pendidikan  kebangsaan ketika sesi soal jawab.

Katanya, jawatankuasa itu akan dianggotai pakar akademik, politik, agama serta wakil badan bukan kerajaan.

Menjawab soalan tambahan anggota yang sama mengenai langkah diambil untuk mengalakkan penggunaan bahasa Inggeris tanpa meminggirkan bahasa Malaysia terutamanya buat golongan luar bandar, beliau berkata kementeriannya  akan menambah penghantaran guru pakar bahasa Inggeris ke kawasan luar bandar.

Katanya selain itu langkah akan diambil bagi  meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan  guru yang  sedia ada, mengundang guru yang telah bersara  serta siswazah untuk sama-sama terlibat dalam usaha meningkatkan penggunaan bahasa itu serta mengambil guru pelatih dari luar. - Bernama