KUALA LUMPUR -Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) menyifatkan tuduhan dikenakan kerajaan India ke atas pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik tidak kuat serta mempunyai motif tersirat yang tidak sihat.

Presidennya, Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, notis merah yang dipohon oleh India terhadap Dr Zakir Naik yang kononnya cuba mengaitkannya sebagai pengganas juga telah dibatalkan Interpol, Oktober lalu.

Menurutnya, fakta ini jelas membuktikan bahawa dakwaan yang dikemukakan kerajaan India lebih kepada sentimen politik dan keagamaan, bukan jenayah.

“Pertama sekali, fakta-fakta menunjukkan bahawa Kerajaan India tidak mengemukakan dokumen pertuduhan yang kuat. Contohnya Interpol telah membatalkan notis merah bagi menganggap Dr Zakir sebagai pengganas atau menyokong pengganas.

“Manakala berkenaan tuduhan penggubahan wang haram serta rampasan harta milik Zakir di bawah Akta Pencegahan Wang Haram (India) juga telah ditolak malah tindakan sita tersebut telah diperintah henti serta merta oleh tribunal. Ini menunjukkan dokumen tuntutan itu tidak kukuh, (tuntutan) lebih bersifat politik dan agama.

“Dr Zakir ada menyebut kebimbangan terhadap nyawa dan keselamatannya jika pulang ke India dan kita bimbang menghantar balik beliau adalah tidak berperikemanusian.

“Beliau juga telah menyatakan persetujuan untuk beri kerjasama kepada kerajaan India untuk sebarang komunikasi dan siasatan melalui ‘skype’ atau dibicarakan di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, Zakir melarikan diri dari India selepas namanya muncul dalam siasatan serangan pengganas di restoran Holey Artisan Bakery di Dhaka, Bangladesh, yang mengorbankan 22 orang di mana pelakunya mendakwa dipengaruhi ucapan Zakir.

Zakir juga didakwa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram namun pendakwah bebas itu menafikan tuduhan berkenaan dan menganggap dirinya menjadi mangsa media India.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Saya bukan teroris : Zakir Naik ]

Mengulas lanjut, Zaharuddin tidak menafikan wujudnya sesetengah pihak di negara ini yang kurang senang dengan cara Zakir berceramah namun tegasnya, corak ceramah yang dulu tidak lagi dilakukan pendakwah itu.

“Setahu saya, beliau tidak lagi aktif melakukan ceramah perbandingan agama di Malaysia, yang ada hanya di Internet, dari ceramahnya dulu-dulu. Boleh dikatakan beliau sudah tidak aktif menggunakan kaedah perbandingan agama yang dikatakan boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu beliau berharap dalam Malaysia yang baharu semua pihak tidak terlalu melayan permainan sentimen keagamaan dan perkauman.

“Malaysia baharu perlu melangkaui sentimen ini. Itu yang mereka (kerajaan) cuba tonjolkan. Sepatutnya mereka perlu menjuarainya, bukan asyik bising dengan isu-isu agama dan perkauman begini sampai nak pergi bincang dengan Perdana Menteri India (Narendra Modi).

“Uruskanlah kerja yang belum selesai itu, banyak lagi. Contohnya restoran perlu guna tukang masak tempatan, hal gaji minima pun masih tak selesai. Mantapkan urusan kementerian terlebih dahulu sebelum sibuk nak pergi jumpa PM India. Cukuplah PM Malaysia yang bertemu PM India jika perlu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran dilaporkan memberi jaminan jika diberi peluang bertemu Modi beliau akan berbincang berkenaan Zakir apabila ke India.

Beliau turut menyokong kenyataan Dr Mahathir yang membenarkan penceramah itu tetap tinggal di Malaysia selagi beliau tidak melanggar undang-undang negara.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Zakir boleh tinggal selagi tak timbulkan masalah : Tun M ]