SHAH ALAM - Pemuda Pas Pusat hari ini menggesa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menarik balik pendakwaan ke atas dua mahasiswanya kerana menganjurkan sebuah forum pada 13 Mei lalu.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan pihak universiti perlu memperhalusi tindakannya itu dalam mewujudkan kebebasan akademik di kampus itu.

"Pertuduhan kesalahan menganjurkan 'Forum GST: Between Economic Growth and Social Justice' pada 13 Mei yang lalu merupakan satu tindakan yang perlu diperhalusi.

"Pihak universiti sewajarnya bersama dan menyokong usaha mewujudkan kebebasan akademik serta membangun budaya demokrasi yang sihat di kampus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga berkata, UIAM tidak sewajarnya mengenakan sekatan kepada sebarang bentuk aktiviti perbincangan, dialog dan pengupayaan sosial mahasiswa selagi mana ia dilakukan dalam keadaan terkawal.

"Ini penting ke arah melahirkan graduan yang berkaliber dan mampu menjadi agen perubahan masyarakat apabila bergraduasi nanti," ujarnya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata lagi, pendakwaan dua mahasiswa yang dihadapkan ke mahkamah universiti itu dikhuatiri akan menjejaskan reputasi UIAM.

"Pendakwaan yang dikenakan oleh pentadbiran UIAM terhadap mahasiswa tersebut ditakuti mencalarkan reputasi UIAM sebagai institusi antarabangsa yang bergelar Taman Ilmu dan Budi.

"UIAM diharapkan akan terus memperjuangkan agenda Islamisasi, Integrasi, Pengantarabangsaaan dan Kecemerlangan Bersepadu yang menjadi sebahagian dari misi dan visi penubuhannya," katanya lagi.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.