PEKAN – Penambahan Cuti Rehat Khas (CRK) kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan daripada tujuh kepada 10 hari yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Bajet 2018 satu hadiah buat warga pendidik dan tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr Zainal Aalam Hassan berkata, pengumuman itu selaras dengan konsep menyejahterakan rakyat sebagai  pertimbangan utama kerajaan.

Menurutnya, pihak kementerian dan warga pendidik berterima kasih dengan perdana menteri yang prihatin dan menghargai usaha serta pengorbanan guru di negara ini.

“Penambahan CRK ini dapat  membantu guru menjalani kehidupan seharian selain tugas mendidik anak dan ia dapat dimanfaatkan bila benar-benar diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, kelmarin.

Hadir sama,  Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Adzis Abas dan Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail.

Sementara itu, Zainal Aalam berkata, Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan 2017 di Pekan, Pahang  yang menjadi lokasi ke-11 penganjurannya selepas Kedah, Terengganu, Melaka, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak.

Jelasnya, secara keseluruhannya dianggarkan lebih  100,000 pengunjung direkodkan sepanjang penganjuran program tersebut dan sambutannya di luar jangkaan.

Beliau berkata, program itu memberi peluang  dalam usaha bertemu akar umbi  dan wajar dijadikan amalan seperti  disarankan Najib dalam merangka dasar baharu negara daripada rakyat kepada kerajaan melalui pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kementerian mengalu-alukan pandangan rakyat bagi membantu menyediakan generasi muda yang dapat menghadapi cabaran abad ke-21 dan bersedia merealisasikan aspirasi negara menjelang 2050,” katanya.

Beliau memberitahu, berteraskan slogan ‘Menerajui Perubahan’, program jelajah berkenaan memberi fokus kepada memaparkan kejayaan kementerian, murid dan pelajar yang bersedia berdepan cabaran global untuk mencapai enam aspirasi digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Kementerian menyediakan kurikulum yang diselaraskan dengan standard antarabangsa, pentaksiran yang holistik, guru dan pentadbir berkualiti serta akses kepada pelbagai laluan Pendidikan Abad Ke-21 dengan kerjasama ibu bapa, komuniti serta sektor swasta,” katanya.