KUALA LUMPUR - Cadangan memperkenalkan cukai soda atau cukai minuman berkarbonat merupakan cadangan menarik dan berbaloi untuk dipertimbangkan kerajaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata selain menampung pendapatan kerajaan ekoran pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ia dapat memberi mesej kepada rakyat bahawa pengambilan minuman bergas yang berlebihan tidak baik untuk kesihatan.

"Seperti kita tahu 'revenue' kerajaan berbanding (semasa pelaksanaan) GST, kutipan melalui SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) akan berkurangan, justeru kerajaan perlu tampil dengan beberapa idea untuk menampung pengurangan ini.

“Saya fikir idea seperti itu (cukai soda) sangat baik untuk diteliti," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta program larian SSM BizRun 2018 di sini pagi ini.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata pelaksanaan tersebut masih di peringkat cadangan dan kerajaan belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

Sebelum ini, Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Tony Pua dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cukai baharu, termasuk cukai soda.

Sementara itu, SSM BizRun 2018 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapat pengiktirafan Buku Rekod Malaysia sebagai acara larian yang mendapat penyertaan syarikat berdaftar paling banyak di negara ini.

Program yang julung kali diadakan itu disertai  740 syarikat berdaftar melibatkan lebih 5,000 peserta.

Sebahagian kutipan yuran larian itu juga akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan. – Bernama