KUALA LUMPUR - Pengurangan gaji menteri sebanyak 10 peratus diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini merupakan tindakan bijak dalam menyusun semula pentadbiran kewangan negara. 

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda berkata, inisiatif itu juga dilihat sebagai bukti kesungguhan kerajaan baharu untuk memulihkan ekonomi negara.

"Cuepacs menerima perkara itu sebagai permulaan baharu yang munasabah. Jemaah menteri juga tidak terkesan dengan inisiatif berkenaan kerana mereka mungkin disokong dengan bayaran elaun lain.

"Kita turut berharap potongan gaji berkenaan hanya membabitkan jemaah menteri dan tidak berlaku kepada kakitangan awam kerana gaji mereka yang sedia ada mungkin hanya cukup untuk menyara hidup," katanya.

Mengulas pembubaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Cuepacs berharap, tindakan kerajaan tidak meminggirkan penjawat awam yang bertugas di agensi terlibat.

"Cuepacs amat bersetuju dengan tindakan pembubaran SPAD kerana fungsinya bertindih dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun apa diharapkan, semua kakitangan awam yang bertugas di SPAD dapat ditempatkan dan diserap masuk ke kementerian terlibat atau jabatan bersesuaian," katanya.

Dr Mahathir hari ini mengumumkan jemaah menteri bersetuju bayaran gaji mereka dikurangkan 10 peratus, selepas mempengerusikan mensyuarat Kabinet pertama hari ini, di Putrajaya.

Inisiatif pemotongan gaji berkenaan membabitkan bayaran gaji asas menteri sebagai usaha mengurangkan pembelanjaan kerajaan.

Selain pemotongan gaji menteri dan pembubaran SPAD, Dr Mahathir turut mengumumkan pembubaran beberapa agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN), dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP). - Bernama