• Presiden Cuepacs, Omar Osman
1 /

KUANTAN - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) fleksibel dalam menentukan penempatan semula agar tidak perlu mewujudkan jawatan baru dan menambah petugas dalam sektor perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata cadangan Datuk Seri Dr Ali Hamsa itu merupakan satu daripada transformasi yang dilakukan kerajaan dalam memantapkan lagi penjawat awam dari segi kualiti dan kuantiti.

"Tidak perlu lagi penambahan jawatan baru apabila wujudnya kerja tambahan, sebaliknya JPA perlu letakkan pegawai yang sedia ada melakukan kerja tambahan melalui proses penyusunan semula tanpa perlu melantik pegawai baru," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Kualiti dan Inovasi 2012 di Universiti Malaysia Pahang hari ini.

Beliau berkata jabatan atau jawatan yang berkemahiran tinggi seperti sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan bagaimanapun memerlukan pelantikan baru serta penambahan anggota dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

"Jawatan yang berkemahiran tinggi seperti doktor, jururawat, guru, polis dan sebagainya perlu ada lantikan baru, jawatan mereka tidak boleh dimansuh atau dibekukan kerana jawatan-jawatan ini penting," katanya.

Omar berkata buat masa ini, kerajaan menunggu Suruhanjaya Khas (Mengkaji Transfromasi Perkhidmatan Awam) mengemukakan laporan sebelum 31 Dis ini untuk memperbaiki perkhidmatan awam secara keseluruhan.

Beliau berkata jumlah penjawat awam ketika ini iaitu 1.4 juta dilihat sudah mencukupi dan tidak perlu ditambah, sebaliknya JPA perlu lebih fleksibel dari segi penempatan semula.

"Jumlah 1.4 juta orang penjawat awam ini kita mahu mereka kekal, kalau ada tambahan kerja, kita hanya perlu penyusunan semula bukannya menambah petugas dan pada masa ini, semua agensi sedang meneliti perkara ini demi penambahbaikan masing-masing," katanya.- Bernama