• Omar Osman Omar Osman
1 /

KUALA LUMPUR - Cuepacs hari ini mencadangkan Sistem Saraan Transformatif (SST) yang lebih menyeluruh dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, Cuepacs berharap proses penyediaan SST yang meliputi 81 skim perkhidmatan sahaja setakat ini, akan turut meliputi kesemua 289 skim perkhidmatan apabila siap kelak.

"Sebelum ini kita ada cadangan untuk meningkatkan sistem saraan melalui SSBP (Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam), namun tak jadi kita balik kepada SSM (Sistem Saraan Malaysia) yang ditambah baik. Apa yang diperlukan sekarang adalah
sistem pengganti SSM bagi membolehkan penjawat awam berkhidmat dengan baik.

"SST (Sistem Saraan Transformatif) yang baru diumumkan merupakan langkah pertama yang baik ke arah ini, namun ia belum merangkumi semua skim perkhidmatan awam. Kita harap pelaksanaan sebuah skim menyeluruh dapat dimuktamadkan dalam tahun ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas manifesto BN, antara lain, menyentuh rancangan kerajaan hendak memperkenalkan Skim Gaji Transformatif (SGT) di bawah SST.

Di bawah SGT, ia termasuk menyemak semula elaun dan menyediakan pergerakan gaji khas sebanyak tiga peratus kepada mereka yang mencapai gaji maksimum jika pada waktu itu tiada semakan gaji dilakukan.

Ketika ini, kerajaan BN telah memperkenalkan dan memperkemaskan gred skim penggajian untuk penjawat awam termasuk kenaikan gaji secara keseluruhan dan beberapa inisiatif baharu yang berjumlah RM2 bilion.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan tambahan tiga kali kenaikan gaji tahunan selepas mata gaji mencecah paras maksimum dalam jadual gaji berkuat kuasa 1 Jan 2013.

Omar berkata semakan terhadap setiap gred, nama jawatan dan tangga gaji dalam perhidmatan awam merupakan perkara penting yang memerlukan kajian mendalam bagi membentuk sebuah sistem saraan mampan yang mampu memastikan perkhidmatan awam berada pada tahap tertinggi selain menjaga kebajikan penjawat awam.

Mengulas mengenai prospek lebih cerah untuk kenaikan pangkat dan pembangunan bakat penjawat awam dalam manifesto itu, Omar berkata perkara ini bakal memberi peluang yang lebih luas kepada penjawat awam yang berbakat untuk naik pangkat.   

"Ini kita nampak lonjakan daripada sistem terdahulu kerana peluang lebih cerah penjawat awam dapat kenaikan 'fast track' (laluan pantas) yang dinilai berdasarkan bakat, kepakaran dan kreativiti mereka.

"Kita juga harap adanya mekanisme yang dapat menggalakkan lebih ramai penjawat awam meningkatkan tahap akademik mereka bagi mencerahkan peluang mereka naik pangkat. Kita harap ini dapat memberi transformasi besar dalam menjaga kebajikan penjawat awam," katanya. - Bernama