KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan tiga notis kesalahan pelanggaran Akta 520 dan mengarahkan sebuah projek pembinaan di ibu negara menghentikan kerja-kerja pembinaan serta-merta.

Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zainora Zainal berkata, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Segambut itu, sebanyak 14 kontraktor telah diperiksa dan didapati satu daripadanya tidak berdaftar manakala 185 pekerja daripada 200 pekerja binaan berkenaan didapati tidak berdaftar dengan CIDB.

"Bagi kesalahan kontraktor tidak berdaftar, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 29, Akta 520 yang membolehkan mereka didenda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan bersalah.

"Manakala, bagi kesalahan pendaftaran personel binaan mereka boleh disabitkan kesalahan di bawah seksyen 33 (4) dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Zainora memaklumkan, operasi kali ini adalah susulan daripada taklimat pematuhan Akta 520 yang telah dihadiri oleh 85 syarikat kontraktor dari negara China yang berlangsung pada awal September lepas di Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin.

Selaras dengan itu jelasnya, bagi memastikan kesemua kontraktor berkenaan mematuhi peruntukan undang-undang di negara ini, operasi kali ini menumpukan kepada projek-projek yang dikendalikan oleh kontraktor-kontraktor China.

"Seramai 103 anggota penguatkuasa dikerahkan dalam operasi kali ini di mana 60 anggota adalah dari Jabatan Sukarelawan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Imegresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (30 anggota) dan CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seramai 13 anggota," katanya.