KANGAR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa terutama pihak risikan menyiasat dakwaan bahawa ada pemimpin pembangkang terlibat dengan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Katanya dakwaan itu suatu perkara yang serius tetapi dakwaan itu memerlukan bukti kukuh bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian itu.

Beliau juga hairan kenapa kumpulan itu datang ke Sabah ketika ini semasa negara sedang hampir untuk mengadakan pilihan raya umum sedangkan tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah sudah lama dibuat.

"Semua pihak kena siasat. Filipina, Presiden Aquino pun nak tahu apa sebenarnya. Perkara ini satu embarrassment (penghinaan) yang besar kepada kerajaan Filipina.

"Mereka tak reda warga mereka terlibat dengan pencerobohan, mengganas, guna senjata dan bunuh orang kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Pauh, dekat sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas laporan media asing bahawa ada pemimpin pembangkang terlibat dengan insiden pencerobohan oleh kumpulan yang mendakwa Tentera Diraja Kesultanan Sulu itu.

Philippine Daily Inquirer menggunakan artikel agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata penceroboh terbabit datang atas "jemputan" seorang ahli politik pembangkang Malaysia.

Manila Times pula dilaporkan mendakwa bahawa pencerobohan secara mendadak itu adalah berkaitan dengan kempen pembangkang Malaysia untuk memberi autonomi kepada Sabah jika mereka menang.

Najib berkata Presiden Benigno S.Aquino III juga mengarahkan agensi perisikannya untuk menyiasat dan mencari kebenaran di sebalik insiden itu.

"Ia (dakwaan itu) perlu disokong dengan bukti. Gambar-gambar dan bukti berdasarkan keadaan. Kita perlu bukti kukuh untuk mengetahui siapa sebenarnya dalang disebaliknya. Seperti yang saya sebut, mengapa semua ini (berlaku) secara tiba-tiba. Masanya begitu dekat dengan pilihan raya," katanya.

Katanya beliau merasakan kumpulan itu mempunyai perancangan besar untuk mengganggu gugat keamanan dan kestabilan di Sabah yang dikecapi selama ini.

Ditanya sama ada keadaan pada masa ini memerlukan satu pasukan petugas membabitkan pihak berkuasa Filipina dan Malaysia, Najib berkata" Kita perlu buat (kerja) secara berasingan, kita boleh selaras dan bertukar-tukar maklumat." - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :