KUALA LUMPUR - Pengunaan data besar boleh membantu pemain industri memaksimumkan keuntungan manakala teknologi utiliti canggih dapat mengurangkan kos, demikian menurut Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (Cepsi) 2018.

Dalam pembentangannya yang bertajuk 'Dua Sisi Duit Syiling Sama', Brad Gammons, Pengarah Urusan Global IBM untuk industri tenaga, alam sekitar dan utiliti, menggalakkan entiti perniagaan untuk menghasilkan pendapatan daripada pasaran dan persekitaran komersil.

Bercakap dari perspektif pengurusan pelanggan, beliau mencadangkan agar caj dikenakan berdasarkan saiz data untuk mewujudkan pemahaman yang lebih baik terhadap pelanggan.

"Pengurusan data pengguna boleh membantu mengembang dan mengekalkan pelanggan sambil mewujudkan permintaan yang lebih besar.

"Apa yang anda alami dengan pelanggan tersebut akan direkodkan dan dianalisis menggunakan sokongan analitik dan ia tidak ternilai dalam membina satu set pelanggan masa depan dan ke arah menyediakan perkhidmatan baru," katanya.

Di sisi operasi perniagaan pula, Gammons berkata data yang dikumpulkan boleh digunakan untuk memberikan gambaran yang lebih mendalam melalui peralatan yang digunakan dengan memahami bagaimana sesuatu syarikat itu mengekalkan aset atau peralatannya untuk menghasilkan keuntungan maksimum.

Beliau memetik Google yang menempatkan perkakas termostat di rumah atau perniagaan untuk mengumpul data dan merekod corak penggunaan bagi mengesan perubahan dalam corak penggunaan peralatan samada berjalan dengan lancar, sebaliknya atau memerlukan pembaikan.

Penal kedua, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili bercakap mengenai 'Pendigitalan Perniagaan : Kemampanan Tenaga Masa Hadapan untuk Sarawak dan Seterusnya'.

"Perkara utama bagi kami adalah untuk menjadi lebih cekap dan berkesan sebagai sebuah syarikat dan penggunaan data besar adalah satu langkah yang dapat kami majukan," katanya.

Sharbini percaya aspek pemantauan dan kawalan jauh adalah satu lagi bidang yang perlu diberi fokus oleh Sarawak Energy kearah mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan organisasi.

Seorang lagi ahli panel, Ketua Pengurusan Produk BMW i, Dr Alexander Kotouc, berkata: "Masa hadapan sudah ada di sini. Kenderaan elektrik dan hibrid bukan lagi produk masa hadapan kerana ia sudah berada di pasaran, termasuk Malaysia. Ini akan menjadi suatu kebiasaan baharu," katanya. - Bernama