PADANG TERAP - Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) hanya akan dipasang di sekolah yang dikenal pasti mempunyai rekod masalah disiplin, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata kementeriannya menyambut baik usaha pemasangan CCTV di sekolah kerana ia kini dilihat sebagai satu keperluan dalam usaha menghadapi pelbagai kemungkinan namun ia tidak akan melibatkan kesemua sekolah di negara ini.

"(Namun) CCTV ini tidak akan dipasang di keseluruhan kawasan sekolah sebaliknya hanya di tempat tertentu sahaja manakala pihak Jabatan Pendidikan Negeri  atau Pejabat Pelajaran Daerah boleh berperanan dalam menentukan sekolah mana yang terlibat terutamanya yang dikenal pasti berisiko serta terdedah dengan pelbagai masalah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pada Program Hari Keluarga di Kampung Baru Lembah Permai di Kuala Nerang di sini hari ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) sebelum ini menyambut baik usaha memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah namun berharap tindakan itu tidak mengganggu  privasi pelajar dan guru.

Mahdzir turut mengesyorkan supaya elemen CCTV itu terkandung dalam skop kerja Perkhidmatan Kawalan Keselamatan yang terdapat di bawah kementeriannya ketika ini.

"Sebenarnya pemasangan CCTV ini boleh dilakukan tanpa perlu mengeluarkan peruntukan yang banyak kerana setiap sekolah sudah mempunyai peruntukan untuk kawalan keselamatan di sekolah.

Jadi saya berharap pemasangan CCTV ini boleh dimasukkan dalam bajet Perkhidmatan Kawalan Keselamatan supaya ianya boleh dilaksanakan tanpa perlu mengeluarkan bajet yang baharu," katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) telah memaklumkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekolah yang terlibat dan akan dijadikan sebagai pusat mengundi di seluruh negara.
  • SEREMBAN - Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung jumlah sekolah di seluruh negara yang akan digunakan sebagai pusat pengundian pada PRU14.
  • KUALA BERANG - Permohonan untuk memasuki Tahun Satu di sekolah bantuan kerajaan oleh seorang kanak-kanak warga asing sedang diteliti, kata Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussien.
  • SEREMBAN - Sebanyak 21 buah sekolah di Kelantan, Johor, Sarawak, Terengganu dan Pahang terpaksa ditutup akibat banjir sehingga jam 2 petang tadi.