BEIJING, CHINA - Malaysia tetap menjadi pilihan utama antara negara-negara asing bagi syarikat pemaju dari China, China Communications Construction Company Limited (CCCC) dalam merangka projek pembangunan yang diusahakan mereka.

Sama ada berlaku perubahan kepimpinan kerajaan, krisis ekonomi mahupun ketidaktentuan perdagangan, CCCC masih tidak berganjak untuk bersama rakyat Malaysia mencipta kemajuan dan pembangunan.

Demikian ditegaskan oleh Naib Presiden CCCC, Sun Ziyu bagi menjelaskan pendirian syarikatnya dalam negara kita setelah berlakunya peralihan kuasa kerajaan yang kini diterajui oleh PH di bawah pimpinan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebagai buktinya, kata Sun, syarikatnya sehingga hari ini sedang melaksanakan lebih 20 projek pembangunan di seluruh negara dan semua projek ini, kecuali Lintasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), berjalan lancar seperti mengikut jadual.

“Bermula tahun 80an, CCCC sudah pun terbabit dalam beberapa projek mega di Malaysia, antaranya membantu menyiapkan Pelabuhan Klang, Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Pelabuhan Kuantan.

“Sebagai sebuah syarikat pemaju yang besar, kami melibatkan diri dalam pembinaan landasan keretapi, landasan keretapi ringan, jalan raya, lebuh raya, pelabuhan dan perumahan. Projek-projek ini meliputi di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Pahang.

“Semua pembangunan ini telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kehidupan rakyat jelata di kawasan-kawasan terbabit dalam tempoh lebih 30 tahun kebelakangan ini,” kata Sun.

Malahan, CCCC dalam menunjukkan kesungguhannya turut membuka Pusat Pengurusan Asia Tenggara di Kuala Lumpur bagi mengurus segala projek dan pemasaran di rantau Asia Tenggara.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog kepada rombongan wartawan media Malaysia ketika mengadakan lawatan di pejabatnya di sini. Turut hadir beberapa pegawai tinggi syarikat berkenaan.

Mengenai projek ECRL yang kini ditangguhkan atas arahan Kerajaan Pusat, Sun memberitahu, pihak syarikatnya amat memahami situasi tersebut memandangkan berlakunya perubahan kerajaan yang sebelum ini di bawah kepimpinan BN.

“Kami sedia maklum kerajaan baharu pastinya akan menilai semula projek-projek besar yang dirancangkan sebelum ini.

“Sebagai contoh, CCCC pernah terpaksa diarah memberhentikan kerja-kerja pembinaan pelabuhan di Sri Langka selama setahun akibat pergolakan politik di sana.

“Bagaimanapun, pada hari ini projek pelabuhan ini telah dijalankan semula setelah keadaan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Menurut Sun, kerajaan Malaysia berhak menangguhkan projek ECRL ini, bagaimanapun tempoh penangguhan ini diharap tidak akan memakan masa yang terlalu panjang.

“Dalam pembinaan ECRL, syarikat kami telah menjalankan kerja-kerja peringkat awal seperti membuka laluan terowong, menyediakan tapak jalanraya, membina jambatan, membeli bahan binaan, pengambilan pekerja dan banyak lagi.

“Kami juga telah menjalankan usaha sama dengan lebih 700 syarikat binaan dan perunding di Malaysia dalam menjayakan projek landasan keretapi yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur ini.

“Selepas pengumuman kerajaan Malaysia untuk menangguhkan projek yang kini sudah mencapai 20 peratus pembinaannya, syarikat kami sememangnya menanggung kerugian setiap hari. Kami sebenarnya amat sedih atas apa yang telah berlaku pada hari ini,” kata Sun.

Bagaimanapun, Sun tetap rasa lega dengan Projek Landasan Berkembar Elektrik antara Gemas dan Johor Bahru (ETS) yang tetap diteruskan seperti sediakala.

“Kami juga terbabit dalam projek pembinaan MRT 3 dengan disenaraipendekkan antara dua syarikat yang terpilih.  Projek ini kini telah dibatalkan namun apa yang ingin dijelaskan di sini ialah tiada sebarang perjanjian telah ditandatangani.

“Apa yang kami alami kerugian ialah dari segi persediaan awal seperti penyediaan rekaan dan persiapan kerja awal. Itu memanglumrah dalam dunia perniagaan,” jelas Sun lagi.

Bagi LRT3, Sun menjelaskan, CCCC sebagai sub kontraktor hanya akan menjalankan mengikut arahan dan sebarang perubahan perjanjian dengan pemaju utama.

Beliau yakin sebarang masalah yang timbul melibatkan penangguhan projek ECRL sepanjang 688 kilometer ini pastinya akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Kami sedar ada pihak-pihak tertentu yang cuba memburukkan syarikat-syarikat China yang menjalankan usahasama di Malaysia. Namun perlu dijelaskan, bukan semua syarikat China di Malaysia berimej buruk, mungkin satu atau dua sahaja.

“CCCC tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan negatif terhadap kerajaan baharu Malaysia. Kami faham kerajaan akan menimbangkan segala masalah berpandukan kedudukan ekonomi negara.

“Sebagai syarikat di bursa saham, kami juga perlu bertanggungjawab terhadap pelabur,” katanya.

Ditanya mengenai masalah pampasan sekiranya projek ECRL dibatalkan, menurut Sun, buat masa ini, pihaknya hanya mendapat tahu projek ini hanya ditangguh buat sementara waktu dan belum dibatalkan sepenuhnya.

“Rundingan antara kami dengan kerajaan masih dijalankan. Kami telah memberhentikan semua kerja di tapak pembinaan dengan memaklumkan kepada semua syarikat perunding, pembekal dan sub kontraktor.

“Sebagai langkah keselamatan, kami turut melakukan kerja pengawalan keselamatan bagi memastikan kerja-kerja separuh siap itu tidak akan mengundang sebarang kesan bahaya kepada sesiapa,” beritahunya.

Kata naib presiden CCCC itu lagi, semua projek masih mempunyai ruang untuk dipertingkatkan lagi dengan dibahagikn kepada beberapa peringkat.

“Contohnya seperti ECRL, sama ada ia ingin dilaksankan secara lintasan berkembar ataupun disambungkan ke sempadan Thailand dan sebagainya, semua ini boleh dibincangkan dengan lebih terperinci kecuali ia dibatalkan sepenuhnya,” tegasnya.

CCCC adalah sebuah syarikat pembinaan antarabangsa landasan keretapi terbesar di China. Sehingga hari ini, syarikat berkenaan berjaya membina landasan keretapi di 13 buah negara dan berjaya menandatangani 34 perjanjian pembinaan landasan keretapi di peringkat antarabangsa membabitkan USD41.5 bilion (RM166 bilion) dengan jarak landasan mencapai sehingga 3,436 kilometer.

Beberapa projek penting diusahakan CCCC di peringkat antarabangsa ialah Landasan Keretapi Mombasa-Nairobi, Landasan Keretapi Hungary-Serbia, Landasan Nairobi-Malaba serta Projek Rangkaian Landasan Timur dan Utara di Uganda.