KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), mencadangkan agar kerajaan menyediakan pinjaman perumahan berasaskan harga rumah kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, ini bagi memastikan kakitangan kerajaan dapat memiliki rumah sendiri dengan lebih mudah.

“Pinjaman sekarang adalah berasaskan gaji. Ini bermakna, penjawat awam tidak mendapat pinjaman penuh dan selebihnya terpaksa meminjam bank.

“Sekiranya dapat pinjaman penuh daripada kerajaan, lebih mudah. Mereka boleh bayar pinjaman itu dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan wang pencen,” katanya ketika berucap di Konvensyen Tri-Tahunan Ceupacs ke-26 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Katanya, Cuepacs turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula imbuhan tetap perumahan penjawat awam sebanyak RM180 sebulan dan kadar faedah pinjaman perumahan sebanyak empat peratus.

“Harga rumah sekarang mahal dan hampir 35 peratus kakitangan awam tidak ada rumah sendiri.

"Jadi, kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini mengikut kemampuan kerajaan,” katanya.

Selain itu, badan itu juga meminta kerajaan memberi cuti tanpa rekod kepada penjawat awam untuk menunaikan umrah.

Dalam ucapannya itu, Omar turut mengumumkan keputusannya untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai presiden Cuepacs yang disandangnya sejak tujuh tahun lalu.

Konvensyen Cuepacs ke-26 akan berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan berakhir esok.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada semua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mengambil keputusan hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai koleksi swafoto baru kini apabila sempat berswafoto dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.
  • KUCHING - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini untuk menghadiri beberapa acara di bandar raya ini bermula esok dan Rabu.
  • PEKAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan nombor pendaftaran kenderaan khas T1M atau Transformasi 1Malaysia, diilhamkan daripada aspirasi Nasional 2015 yang diperkenalkan beliau.
  • PENAMPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan penghargaannya kepada Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan atas sumbangan besar beliau (Pairin) dalam perjuangan Barisan Nasional (BN) membangunkan Sabah dan negara ini.