KUALA BERANG - Semua liputan dan capaian Internet di Pusat Daerah Mengundi (PDM) di negeri Terengganu harus berada dalam keadaan siap siaga menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata pihaknya telah lama memulakan penaiktarafan secara berperingkat agar tahap capaian perkhidmatan berkenaan berada dalam keadaan yang terbaik menjelang PRU ke-14 kelak.

"Hal ini penting kerana kita tidak mahu berlaku sebarang masalah komunikasi ketika berlangsungnya PRU nanti...kita tidak mahu bila gendang PRU dipalu, tahap liputan masih di tahap yang kurang memuaskan.

"Sebanyak 566 PDM di Terengganu telah saya pastikan dan arahkan agar tahap capaian Internet berada pada tahap terbaik begitu juga 8,245 PDM di seluruh negara," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Tautan Budi Komuniti Orang Asli Sungai Berua, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan A. Latif Awang serta Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Shafruddin Ali Hussin.

Tambah Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu itu, keadaan liputan yang kurang baik buat masa sekarang adalah kerana proses penaiktarafan yang masih belum selesai sepenuhnya.

"Saya tahu rangkaian sekejap ada sekejap tiada terutama di kawasan luar bandar tetapi kerja penambahbaikan giat dijalankan daripada 2G kepada 3G dan 4G.

"Capaian perkhidmatan Internet dan selular juga bergantung kepada faktor demografi dan cuaca di samping penggunaan talian secara maksimum oleh seseorang pengguna. Tapi kita cuba pastikan masalah ini akan selesai dalam jangka waktu yang telah ditetapkan," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :