SEMENYIH - Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Bandar Bukit Mahkota berikutan kepadatan pelajar di sekolah sedia ada.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan menyenaraikan cadangan pembinaan sekolah tersebut sebagai keutamaan dalam 'Rolling Plan' 4, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

"Saya dimaklumkan hanya ada sebuah SMK di sini yang mempunyai seramai 3,000 pelajar" katanya.

Mahdzir berkata, pihaknya juga mahu memastikan murid berkeperluan khas seperti murid pendidikan khas mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan yang relevan dengan keperluan mereka.

"Justeru, melihat kepada kesesakan yang berlaku di Kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra, kami akan mewujudkan kelas PPKI yang baharu di Sekolah Kebangsaan Bangi.

"Kami akan menguruskan segala keperluan bagi memastikan kelas PPKI yang baharu ini dapat beroperasi dengan lancar," katanya.