SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri digesa mengadakan perbincangan mengenai masalah dadah yang sehingga kini tidak dapat diselesaikan secara tuntas.

Ketua Pembangkang Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, justeru itu diharap agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat mengusahakan satu perbincangan dengan semua wakil parti politik, NGO dan lain-lain berhubung masalah dadah kini.

"Janganlah hanya menumpukan perhatian terhadap tujuh pemuda yang disiasat polis (berhubung kes bakar pusat tahfiz).

"Bincang segera punca meningkat jenayah dalam negara, iaitu penyalahgunaan dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jumlah penagih terutama di kalangan masyarakat Melayu dan India mencecah ratusan ribu.

"Dadah begitu mudah diperolehi walaupun terdapat undang-undang keras untuk membanterasnya," tegasnya.

Katanya lagi,  penagih dan pengedar diberkas meskipun jarang sekali kedengaran tauke atau saudagar besar dadah didakwa.