KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang memperkenalkan pelan perlindungan insurans untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) berumur 15 tahun ke bawah.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata usaha itu dilakukan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) selaku badan yang mengawal selia sektor perbankan dan insurans untuk mencari pelan perlindungan insurans yang sesuai.

"Saya menyeru semua syarikat insurans untuk menawarkan pakej perlindungan yang sesuai kepada OKU termasuk kepada kanak-kanak OKU," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu semasa Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat, Rohani berkata pada masa ini, insurans yang ditawarkan hanyalah untuk OKU berumur di antara 16 hingga 70 tahun.

"Hasil kerjasama dengan BNM, pada 24 Jun 2015, Allianz Malaysia Berhad memperkenalkan produk Allianz Ability Life iaitu pelan insurans hayat yang diperbaharui setiap tahun untuk golongan OKU dengan kadar premium serendah RM50 setahun dan jumlah insurans RM25,000 dan RM70 setahun untuk jumlah insurans RM50,000," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut).

Ahmad Nazlan bertanya tentang usaha kementerian untuk membantu OKU memiliki polisi insurans memandangkan mereka sukar mendapat pelan pelindungan bersesuaian dengan kadar premium rendah.

Rohani berkata kerajaan sentiasa komited untuk memastikan kesaksamaan hak dan peluang yang sama dapat diberikan kepada OKU untuk kebajikan mereka. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.