KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kerajaan merancang untuk menggubal rang undang-undang khusus bagi golongan tidak memudah cara urusan yang dianggap sebagai pengkhianat kepada pembangunan.

Beliau berkata, perkara seperti itu pernah dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dengan mengambil contoh mereka yang menjual kontrak atau projek kepada pihak lain.

Katanya, golongan itu sepatutnya membantu dalam memudahkan sebarang urusan tertentu, sebaliknya tidak berbuat demikian sehingga menjejaskan industri terbabit.

"Walaupun tiada undang-undang itu pada masa kini, kerajaan mengambil langkah mengenepikan golongan terbabit.

"Kalau hendak tunggu undang-undang ini digubal, ia akan mengambil masa kerana banyak perkara perlu kita teliti," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pusat Sehenti Keusahawanan dan MyPerintis-BizRev, di sini, hari ini.