SHAH ALAM - Hari ini, mahkamah akan menentukan keputusan di akhir pendakwaan terhadap dua wanita yang berdepan tuduhan membunuh Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara,  Kim Jong Un.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Azmi Ariffin akan menentukan sama ada kedua-dua wanita itu perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan.

Wanita warga Indonesia Siti Aisyah dan wanita warga Vietnam Doan Thi Huong itu tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dengan diiringi polis kira-kira jam 8.25 pagi.

Suspek warga Indonesia,Siti Aisyah yang didakwa atas tuduhan membunuh Kim Jong Nam abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

Kedua-dua wanita itu akan diperintah membela diri sekiranya mahkamah mendapati wujud prima facie terhadap kedua-duanya sebaliknya dibebaskan sekiranya terdapat sebarang elemen yang tidak cukup untuk mensabitkan kedua-dua wanita itu.

Kes berkenaan selesai dibicarakan selama 39 hari bermula 29 Oktober tahun lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan kes bunuh Kim Jong-nam 16 Ogos]

Berdasarkan pertuduhan, Siti Aisyah, 26, dan Thi Huong, 29, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada jam 9 pagi, 13 Februari 2017.

Mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang pertama kali pada 1 Mac 2017, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Suspek warga Vietnam, Doan Thi Huong yang didakwa atas tuduhan membunuh Kim Jong Nam abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB