GELANG PATAH – Pembentangan Bajet 2018 bukan 'gula-gula' buat rakyat sebaliknya ia merupakan pembentangan belanjawan yang inklusif dan komprehensif untuk menjadikan Malsyai negara maju pada 2020.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata pembangkang boleh terus mempolitikan isu bajet.

“Saya nak beri ulasan pihak pembangkang kata banyak gula-gula dalam bajet disediakan ini, kalau gula-gula jangan terima,suruh dia (pembangkang) beritahu rakyat jangan terima.

“Apabila dia kata gula-gula... adakah kumpulan-kumpulan yang kerajaan pusat kenalpasti sebagai sasaran seperti usahawan, nelayan dan penduduk Felda ini merupakan kumpulan yang tak wajar terima bantuan? Adakah mereka ini tidak wajar dimasukkan dalam bajet dibentangkan itu?,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Notis 5A buat 23 penerima di Dewan MPJBT, Gelang Patah, di sini

Mohamed Khaled berkata, apa dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah belanjawan yang mengambil pertimbangan perbelanjaan bukan manifesto seperti ditawarkan pembangkang.

“Apa yang kita dapat lihat, bajet kali ni dapat banyak memberdayakan (membangunkan) masyarakat.

“Membangunkan keupayaan, keberdayaan masyarakat kalau gula-gula, kita tengok apa yang disediakan oleh kerajaan pusat contoh keusahawanan memberi pinjaman bukan bantuan. Bantuan hanya diberikan kepada Orang Asli, pengajian, Dana Anak Malaysia, baucar buku,” katanya.

Mengulas mengenai tol EDL tegasnya, pemansuhan bayaran itu memberi faedah buat rakyat negara ini.

“EDL ini dikenakan pergi -balik (Johor-Singapura-Johor) dikenakan RM16.50 sehari satu perbelanjaan yang melibatkan rakyat Malaysia yang lebih banyak masuk ke Singapura setiap hari berbanding dengan yang masuk ke Malaysia dari Singapura.

“Oleh kerana Singapura mengenakan VEP ke atas kenderaan asing, banyak rakyat kita yang memiliki kenderaan berpendaftaran Singapura, jadi cakap-cakap kononnya rakyat Singapura yang dapat faedah ia tidak benar,” katanya.

Kenderaan Singapura masih dikenakan Caj Jalan dan bayaran tol oleh Plus.

Mohamed Khaled, Kerajaan Negeri Johor melihat terdapat empat perkara penting yang dapat dirumuskan daripada Bajet 2018 yang harus dinilai dengan adil dan objektif oleh semua pihak.

Pertama katanya, struktur dan fokus yang terarah kepada mempersiapkan negara menghadapi gelombang ekonomi baharu masa hadapan yang memberi perhatian terhadap evolusi industri.

Kedua, usaha bersepadu dan pendekatan baharu dalam memperkukuh dan melonjak sektor sedia ada seperti peruntukan RM6.5 bilion kepada sektor pertanian dalam bentuk bantuan, insentif dan pembangunan infrastruktur. Inisiatif ini pasti mampu mengoptimumkan produktiviti serta pertumbuhan sektor ini.

Ketiga, katanya ialah iltizam dalam memastikan wujud kesejahteraan sosial yang inklusif dan berkualiti bagi memastikan tidak ada golongan yang tercicir dari menikmati arus pembangunan dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu.

Mohamed Khaled berkata, rangkaian bantuan serta inisiatif intervensi yang disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) melalui penerusan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta pelbagai bantuan khas untuk rakyat di segenap lapisan, adalah sesuatu yang baik dan bersesuaian dengan keperluan.

Keempat, secara khususnya kepada Johor, kerajaan negeri melihat Bajet 2018 ini sebagai satu komitmen besar yang akan terus membawa impak yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri.