KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Jepun tidak meletak sebarang syarat dalam tawarannya untuk memberi jaminan kepada pengeluaran Bon Samurai berjumlah RM7.4 bilion kepada Malaysia.

"Tiada, tiada syarat dikenakan," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi China Dunia di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Dr Mahathir ditanya sama ada kerajaan Jepun ada mengenakan apa-apa syarat semasa memberikan tawaran itu, misalnya sebagai tukarannya hendaklah membenarkan syarikat-syarikat Jepun terlibat dalam pembinaan projek-projek infrastruktur mega di Malaysia.

Beliau turut menarik perhatian bahawa pinjaman berdominasi Yen akan digunakan untuk membayar balik pinjaman sedia ada negara atau dibelanjakan untuk projek-projek pembangunan.

Bon Samurai tersebut adalah untuk tempoh 10 tahun dan dijangka akan dikeluarkan sebelum Mac tahun depan menerusi Bank Kerjasama Antarabangsa Jepun dengan kupon indikatif pada 0.65 peratus. - Bernama