AUTA

Satu pesanan tersebar di internet dan aplikasi WhatsApp kononnya dihantar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai kemungkinan berlaku banjir besar di sekitar Sungai Perak.

Pesanan itu menyatakan banjir itu akan berlaku disebabkan Empangan Chenderoh di Kuala Kangsar akan dibuka dan air akan dilepaskan bagi mengelakkan kemungkinan empangan itu pecah.

Mesej itu turut meminta penduduk sekitar kawasan di tepi sungai berjaga-jaga terutama jika hujan lebat.
 
"Risiko jika Empangan Chenderoh pecah ialah sejarah banjir besar di Kuala Kangsar hingga menenggelamkan jam besar di pekan Kuala Kangsar akan berulang.

"Cuti semua anggota bomba juga telah dibekukan dan tempoh bertugas dilanjutkan dari 12 jam kepada 24 jam sehari sebagai langkah berjaga-jaga," menurut mesej itu.



FAKTA

Jabatan Bomba dan Penyelamat menafikan penyebaran pesanan mengenai pembukaan Empangan Chenderoh sehingga akan menyebabkan banjir besar.

Menurut sumber dalamannya, perkara tersebut telah lama diperkatakan sebelum ini, namun ia tidak benar.

“Kami tidak pernah mengeluarkan sebarang pesanan berbentuk mesej atau WhatsApp kepada orang ramai seperti itu.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat hanya mengeluarkan maklumat terkini dan hebahan menggunakan platform rasmi sahaja,” katanya.