PERBEZAAN kaum dan agama bukanlah penghalang kepada Superbike Caring Group yang kini aktif melakukan kerja sukarelawan membantu golongan susah di bawah Persatuan Kebajikan Chowchitmothor Pulau Pinang.

Pengerusi kumpulan itu, Wong Kia Fatt berkata, kumpulan ini mempunyai 600 ahli dan merupakan kaum Cina dari seluruh Malaysia di mana menerusi dana kebajikan, mereka akan menyumbang sekurang-kurangnya RM10 untuk disumbangkan semula kepada  golongan memerlukan tanpa melihat perbezaan kaum dan agama, sejak tahun 2011 lagi.

Menurutnya, baru-baru ini, kumpulan ini telah membantu pasangan suami isteri bangsa Melayu dari Sungai Petani, untuk  mendapatkan dana sebanyak RM93,000 bagi menampung kos rawatan bayi berusia 18 bulan, adik Muhammad Khairy Irfan Haniff.

"Adik ini mengalami lebihan cecair di otak sehingga membengkak dan memerlukan rawatan di sebuah hospital pakar di Bangalore, India.

“Kita membantu keluarga ini tidak melihat warna kulit, asalkan mereka betul-betul memerlukan bantuan,  sama ada bentuk kos rawatan perubatan mahu pun keperluan asas lain.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa prihatin nasib mereka yang benar-benar memerlukan agar dapat meringankan beban mereka selagi termampu.

“Dengan mengambil kira  situasi seperti kes bayi 18 bulan ini, walaupun bantuan tidaklah besar, ia dapat membantu adik Muhammad Khairy pulih ,” katanya.

Kia Fatt berkata, pihaknya sendiri telah membawa adik Muhammad Kahiry ke Kuala Lumpur untuk  menguruskan pemeriksaan MediAssist 4U sebelum  menjalani pembedahan di sebuah hospital pakar di Bangalore, India, November lalu.

Katanya lagi, beliau dan dua lagi ahli persatuan turut menemani pasangan suami isteri berkenaan ke India sehingga pembedahan selesai. Selain itu, pihak persatuan turut membantu menyelesaikan hutang ditanggung pasangan itu.

Kia Fatt berkata lagi, selain keluarga itu, banyak lagi keluarga susah lain telah dibantu oleh persatuan seperti sumbangan berbentuk wang kepada ibu tunggal, anak yatim dan warga emas.

"Baru-baru ini, persatuan turut sampaikan bantuan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM300,000 kepada 19 rumah anak yatim di kawasan Sungai Petani, Kulim di Kedah serta  di kawasan  Butterworth, Jawi dan Bukit Tambun di Pulau Pinang," katanya.

Kia Fatt yang berasal dari Bagan Serai, Perak menceburi perniagaan sistem monitor suara dan lampu (Sound System & Lighthing) di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang berkata, sejak kecil lagi, beliau mempunyai niat untuk membantu golongan susah tetapi tidak berupaya berbuat demikian seorang diri.

“Saya minat tapi tiada peluang dan tak tahu bagaimana cara  nak mulakan.

"Selepas saya mendapat pandangan kawan, saya cuba menggalakkan kawan-kawan yang lain pula untuk sama-sama menderma ke dalam akaun bank atas nama persatuan.

"Pada awalnya, usaha di mulakan dengan 11 orang kawan-kawan dan dikembangkan kepada kumpulan besar.

“Wang yang di derma itu dikumpulkan dan diagihkan semula mengikut keperluan mana-mana individu atau pihak memerlukan terdiri daripada pelbagai bangsa Malaysia di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, menerusi khidmat masyarakatnya itu, beliau dan ahlinya juga mengenal adat bangsa lain dan memahami budaya masyarakat majmuk.

Menurutnya,  semua perbezaan itu tidak  menghalangnya untuk  membantu dan meraikan perayaan tertentu kaum di negara ini.

“Walaupun penat terlibat kerja-kerja amal begini, namun saya mendapat kepuasan maksimum. Sebenarnya hidup lebih gembira jika kita mengenali bangsa lain.  

“Saya nampak rakyat negara ini kurang bersatu. Marilah kita memahami adat pelbagai lapisan masyarakat dan kaum, barulah kita boleh hidup dengan harmoni dan sejahtera.

“Jangan wujudkan sentimen perkauman jika mahu melihat Malaysia lebih aman dan saling membantu sama lain," katanya.

Katanya lagi, walaupun sumbangan kecil atau besar, ini sudah cukup membawa makna yang tidak ternilai kepada golongan memerlukan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.