PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan lebih bertoleransi dalam pendekatannya menguruskan hal berkaitan Islam di negara ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau berkata Islam sebagai agama ulung perlu dilihat sentiasa berada dalam  lingkungan hikmah dan terpelihara daripada persepsi negatif yang mungkin timbul hasil pendekatan dan tindakan yang diambil agensi agama.

Katanya Islam tidak harus dilihat sebagai satu agama yang keras dan suka menghukum, sebaliknya perlu ditonjolkan sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua.

“Pihak yang ‘tergelincir’ dari landasan agama perlu disantuni, dinasihati dan dibimbing, manakala penguatkuasaan harus diletak sebagai pilihan terakhir dalam melaksanakan dakwah yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah Syariah di sini hari ini.

Edisi kelima seminar itu dihadiri 650 peserta dari kalangan Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah, Badan Bukan Kerajaan dan penuntut universiti.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Mohamad Nordin KP baharu Jakim]

Mohamad Nordin berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat kepadanya dalam satu pertemuan baru-baru ini, yang antara lain mahu Jakim mengetengahkan kefahaman bahawa Islam adalah agama kemajuan dan pembangunan yang memanfaatkan semua pihak.

Untuk itu, katanya agensi atau pihak pelaksana agama perlu meningkatkan kualiti insaniah dalam kalangan masyarakat bagi membentuk tingkah laku positif melalui aktiviti turun padang bertemu dan membimbing mereka yang memerlukan sokongan moral.- Bernama