SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 menggesa kerajaan mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) kepada orang awam serta mengumumkan tindakan diambil daripada cadangan pembaharuan dikemukakan.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, walaupun IRC dan CEP masing-masing sudah menghantar laporan mereka pada 16 Julai dan 7 Ogos lalu, namun, laporan tersebut tidak didedahkan secara umum.

Katanya, ia menimbulkan persoalan rakyat sama ada pandangan dan cadangan daripada mereka telah diambil maklum secara serius oleh kerajaan atau sebaliknya.

"CEP dan IRC masing-masing ditubuhkan pada 12  Mei dan 15 Mei lalu bagi memberi nasihat berkenaan hal ehwal ekonomi serta memberi cadangan reformasi institusi kepada kerajaan.

"IRC telah menghantar laporan mereka kepada CEP pada 16 Julai dan CEP telah menghantar laporan kepada Perdana Menteri pada 7 Ogos. Walau bagaimanapun pada 27 Ogos Perdana Menteri mengatakan kepada media bahawa laporan tersebut tidak akan dibuat secara umum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiada hasrat dedah laporan CEP kepada umum: PM]

Pada 27 Ogos, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak berhasrat mendedahkan laporan CEP kepada umum kerana bidang tugas mereka adalah untuk menyiasat dan mengemukakan laporan kepada beliau.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, sepanjang penubuhan, CEP telah menemubual 350 orang daripada 300 organisasi, manakala IRC pula sudah mengadakan perbincangan dengan organisasi gerakan sivil dan menyemak lebih 1,000 cadangan bertulis daripada orang awam serta pemegang taruh.

"Apabila orang awam dijemput untuk memberi cadangan, ada harapan bahawa cadangan dan pandangan mereka akan diambil berat di dalam cadangan yang dikemukakan oleh IRC dan CEP.

"Bagaimanakah orang awam akan tahu sekiranya pandangan dan cadangan daripada mereka telah diambil maklum secara serius sekiranya laporan tersebut tidak dilaporkan kepada umum?" soalnya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 berkata, terdapat keperluan untuk laporan itu dibuka kepada umum, sama ada sebagai kertas putih atau hijau supaya orang ramai dapat menyemak serta menilai cadangan yang dikemukakan dan melakukan perbincangan peringkat awam, selari dengan Janji 16 Manifesto PH.

"Sekiranya ada unsur di dalam laporan tersebut boleh menggugat ketenteraman awam atau keselamatan negara, maka perkara tersebut boleh dikeluarkan daripada laporan namun ianya tidak wajar menjadi halangan kepada pengeluaran laporan kepada awam.

"Kami sekali lagi menekan seruan untuk memperkenalkan undang-undang maklumat sebagai hak nasional bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti. Manifesto PH untuk menggubal Akta Kebebasan Maklumat sebagai sebahagian perjuangan menentang rasuah adalah dipuji dan harus dipenuhi tanpa lengah lagi," katanya.

Namun, jika laporan itu tidak dipaparkan, tindakan tersebut menyebabkan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan kurang sehingga menghakis kepercayaan umum kepada kerajaan PH.

"Salah satu sebab utama kerajaan PH dipilih adalah kerana janji kerajaan untuk mengangkat ketelusan dan integriti dengan lebih baik daripada kerajaan sebelumnya. Kerajaan PH tidak wajar mengulangi kesilapan yang lalu.

"Justeru hak untuk mendapatkan maklumat yang telus adalah asasi untuk pentadbiran yang telus dan berakauntabiliti," katanya.