• Hakimi (dua, kiri), menyerahkan replika cek sumbangan Tabung Kemanusiaan Gaza kepada Akmal Eirfan di lobi Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, semalam. Hakimi (dua, kiri), menyerahkan replika cek sumbangan Tabung Kemanusiaan Gaza kepada Akmal Eirfan di lobi Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, semalam.
1 /

SHAH ALAM - Tabung Kemanusiaan Gaza - Sinar Harian terus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak yang prihatin dengan penderitaan penduduk di Palestin.

Terbaru, Radio Bernama24 menyerahkan hasil kutipan sumbangan RM32,318 kepada Sinar Harian.

Ketua Rancangannya, Hakimi Mohd Zain, berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib rakyat Palestin dan menyokong Tabung Kemanusiaan Gaza yang diwujudkan Sinar Harian.

Menurutnya, kutipan itu bermula  sejak November tahun lalu di Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro pelancongan Malaysia 2012 (Maha) bertujuan beri peluang kepada orang ramai menghulurkan derma ikhlas.  

“Selama tujuh hari Maha berlangsung, Alhamdulillah kita berjaya mengumpulkan sebanyak RM12,318 hasil sumbangan orang ramai yang berkunjung ke pameran itu.

“Selain itu, kita juga terima sumbangan daripada pelbagai agensi termasuk pelanggan kami berjumlah RM20,000. Jadi pada hari ini  (semalam) kami serah kutipan ini kepada Sinar Harian untuk disalur kepada penduduk Gaza,” katanya selepas  majlis penyerahan sumbangan
yang berlangsung di lobi Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif (Penerbitan Akhbar), Akmal Eirfan Mohd Fauzi dan Pengurus Tugas-tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang.

Sementara itu, Akmal Eirfan berkata, kolaborasi sesama media serta hubungan rapat antara Sinar Harian dan Bernama Radio24 selama ini menjadikan kedua-dua pihak sentiasa bekerjasama.

“Kami berterima kasih kepada pihak Bernama Radio24 kerana memberi sokongan kepada Tabung Kemanusiaan Gaza-Sinar Harian ini.

“Justeru itu, kita berharap melalui sumbangan ikhlas dan keprihatinan pelbagai pihak dapat mengurangkan beban dan penderitaan penduduk Palestin," katanya.