PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa peruntukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk tahun 2017 yang dipertikaikan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, perkara tersebut disahkan pihak SPRM yang mana beliau dimaklumkan pegawai-pegawai SPRM telah datang ke ibu pejabat Finas pada 7 Jun lalu.

"Saya ingin menegaskan KKMM tidak akan bertolak ansur atau berkompromi dalam apa jua perkara yang melibatkan elemen rasuah, ketirisan ataupun salah guna kuasa dalam mana-mana jua agensi atau jabatan di bawah bidang kuasanya.

Perkara yang melibatkan elemen rasuah, ketirisan ataupun salah guna kuasa dalam industri kreatif negara kita, sekiranya ada, boleh melemahkan persaingan sihat yang perlu bagi mengembangkan industri ini dan boleh melumpuhkan perkembangan industri ini secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya sekiranya siasatan menunjukkan wujudnya elemen berkenaan maka tindakan tegas perlu diambil mahupun secara undang-undang ataupun secara dalaman bagi menangani perkara tersebut dengan serta-merta.

"Oleh itu, SPRM seharusnya diberikan ruang yang sepenuhnya dalam siasatan ini dan pihak-pihak berkaitan perlu memberi kerjasama yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan," katanya.

Beliau berharap, siasatan itu juga akan melihat secara mendalam kepada atur cara dalam mana peruntukan-peruntukan Finas digunakan pada masa lalu.

"Sekiranya didapati wujudnya sebarang kelemahan atau kekurangan, cadangan-cadangan bagi memperkukuhkannya dapat dikemukakan untuk pertimbangan KKMM," katanya. - Bernama