SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub meminta semua pihak memberi masa kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum melaksanakan tugasnya.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan sedar sistem kehakiman negara sebelum ini dalam keadaan teruk dan perubahan perlu dilakukan segera.

Menurutnya, pelantikan Richard bertujuan untuk mengembalikan bidang kehakiman kepada era kegemilangan dan meletakkan keadilan pada tempatnya.

"Semua perlu sedar bahawa rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan merupakan isu kehakiman. Apa yang berlaku pada hari ini (bertukar kerajaan) adalah manifestasi ketidapuasan hati rakyat terhadap perkara tersebut.

"Jadi amanah yang diberikan rakyat ini perlu dipikul dan bidang kehakiman negara perlu ditambah baik. Ini yang kita sedang jalankan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan melahirkan keresahan susulan pelantikan tiga figura mengepalai badan kehakiman di negara ini.

Belia mempersoalkan apakah masih ada harapan rakyat khasnya umat Islam untuk melihat masa depan Islam terus terbela di bumi Malaysia ini khasnya dalam hal yang melibatkan undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: [Tiga serangkai sektor judisiari resahkan umat Islam]

Mengulas perkara tersebut, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah berkata, walaupun pelantikan Ketua Hakim Negara tidak melibatkan orang Melayu, ia tidak akan menjejaskan keutuhan Islam, hak keistimewaan orang Melayu serta bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

"Apa yang perlu dirisaukan kerana beliau hanya lantikan dan bila-bila masa boleh dilucutkan daripada jawatan (mengikut prosedur).

"Kerajaan boleh nilai tugas yang dijalankan. Kalau tidak memenuhi kehendak, saya sebagai salah seorang jemaah menteri akan membawa perkara ini kepada perdana menteri untuk dibicangkan dalam mesyuarat Kabinet," katanya.

Salahuddin turut menjelaskan bahawa pelantikan Richard bukan berkait dengan isu perkauman, sebaliknya penilaian dibuat berdasarkan kredibilitinya.

"Soal lantik menteri kewangan daripada kalangan Cina, lantik Peguam Negara dan Ketua hakim Negara bukan suatu isu perkauman tetapi ia sengaja ditimbulkan bagi menakut-nakutkan orang Melayu," katanya.