KUALA LUMPUR - Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata, pengguna perlu memberi perhatian serius kepada soal keselamatan dalam penggunaan telefon bimbit di sebalik beberapa insiden yang dikaitkan dengan alat itu yang dilaporkan sebelum ini.

"Selain memastikan pengecas dan bateri telefon bimbit adalah tulin, pengguna turut perlu mengelak menggunakan telefon ketika di stesen minyak...jangan guna telefon bimbit dengan keterlaluan," katanya kepada Bernama.

Katanya, tindakan mematikan telefon bimbit ketika dicas juga boleh 'merehatkan' alat itu buat sementara memandangkan ia kini tidak lagi menjadi alat perhubungan semata-mata malah digunakan untuk menonton filem, bermain 'game', melayari laman sosial dan sebagainya.

Beliau mengulas insiden seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dilaporkan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik telefon bimbit yang sedang dicas menggunakan 'power bank' di Melaka, Jumaat lepas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Remaja maut terkena renjatan power bank]

Mangsa dilaporkan  ditemui mati oleh ibunya dalam keadaan terbaring sambil mengenakan fon telinga yang disambungkan pada telefon bimbitnya dan dalam keadaan bercas pada sebuah power bank.

Pada 25 Ogos tahun lalu, seorang jurukamera melecur di paha kiri apabila power bank yang diletakkan di dalam begnya secara tiba-tiba terbakar ketika membuat tugasan di ibu negara.

Seorang pemandu bot berusia 27 tahun dilaporkan cedera pada tangan dan muka selepas telefon bimbit miliknya yang sedang dicas tiba-tiba meletup pada 23 April 2016 dalam kejadian di Yan, Kedah. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati kebanyakan pemandu di negara ini mengakui bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
  • KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan bercadang membenarkan pelajar menggunakan alat peranti seperti laptop, tablet dan telefon bimbit di sekolah untuk tujuan pembelajaran.
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Tenaga (ST) sekali lagimenasihati pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit semasa ia sedang dicas kerana ia mengundang bahaya termasuk berlakunya renjatan elektrik.
  • BENTONG - Penggunaan telefon bimbit ketika memandu kenderaan dan menunggang motosikal dikenal pasti sebagai antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.