PUTRAJAYA - Jabatan Penerangan Malaysia membuka peluang kepada seluruh warganya untuk mencipta inovasi bagi meningkatkan kecekapan dalam mutu perkhidmatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, di samping dapat mengurangkan kos, ia menjadikan sesebuah jabatan itu lebih kreatif pada masa akan datang.

“Jabatan telah memberi peluang kepada semua untuk melakukan inovasi mengikut keperluan dan perubahan,” katanya.

Menurutnya, setiap inovasi perlu menghadapi cabaran yang mana penciptanya perlu berfikir di luar kotak.

Ravi a/l Balakrishnan menerima hadiah daripada Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman setelah mendapat tempat ketiga pada Kuiz ASEAN.

“Pemikiran di luar kotak mampu menemukan cara-cara terbaik untuk membuka potensi dan kreativiti yang ada dalam diri kita. Cuma persoalannya bagaimana kita hendak memupuk sifat inovasi dalam diri.

“Saya berharap agar semua berusaha meningkatkan kualiti, produktiviti dan inovasi yang berterusan selain menyemai nilai- nilai murni,” katanya.

Tambahnya, inovasi juga bergerak dari satu tahap ke tahap yang lebih baik.

Gobinath Nair a/l Ravi menerima hadiah tempat kedua Kuiz ASEAN.

“Dalam konteks ini, kita didedahkan bagaimana kreativiti yang dilakukan negara luar terutamanya Amerika Syarikat yang banyak menghasilkan produk yang kita tidak pernah fikirkan selama ini,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Penerangan di sini, semalam.

Hari Inovasi dan Kecemerlangan berkenaan bertujuan untuk mengiktiraf anggotanya yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang.

Sebanyak sembilan anugerah diberikan termasuk berkumpulan, individu dan penghargaan jabatan.

Dalam pada itu, Ibrahim turut menyampaikan hadiah pertandingan kuiz  ASEAN peringkat kebangsaan secara atas talian.

Arizkhan Amin Kadda mendapat tempat pertama Kuiz ASEAN.

Kuiz yang berlangsung selama sebulan September lalu mencatatkan 28,015 penyertaan dari seluruh negara.

Seramai tiga pelajar dipilih mewakili Malaysia ke peringkat serantau yang akan diadakan di Bali, Indonesia Disember depan.

Hii Ying Eng, Franciecya dan Gobinath Nair a/l Ravi menerima bendera daripada Ibrahim sebagai simbolik mewakili Malaysia Kuiz ASEAN peringkat serantau.

REAKSI:

“Meskipun ada halangan dan pengangkutan yang terhad, Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Tawau tak putus asa menyampaikan dasar- dasar negara kepada rakyat. Kami juga bergabung dengan jabatan dan agensi lain untuk melaksanakan tugas ini.” - Penerima Anugerah Penyelaras PMR terbaik, Jusman Hedoh

“Keunikan geografi Limbang beri kelebihan kepada PMR Limbang untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan cara kreatif. Hubungan baik dengan Jabatan Penerangan Brunei juga mudahkan urusan kami.” - Pegawai Penerangan PMR Limbang yang memenangi Anugerah Wow Factor PMR, Linda Padan

“Kami ambil pendekatan bersahaja dan santai bagi memberi kelainan dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan. Kaedah ini lebih diminati oleh golongan muda apabila dilihat daripada setiap hantaran (posting) dibuat.” - Penerima Anugerah Portal Malaysia Aktif Terbaik, Fauzrina Bulka & Azman Jumat

Sabarudin Yeop Hamza menerima anugerah Penceramah Terbaik daripada Ibrahim.

Senarai penuh penerima anugerah:

Anugerah Pengurusan Sistem Fail Terbaik: Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan, Ibu Pejabat

Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik: Jabatan Penerangan Selangor

Anugerah Portal Malaysia Aktif Terbaik: Jabatan Penerangan Sabah

Anugerah Perhubungan Awam Terbaik: Pegawai Perhubungan Awam Esscom, Raymie Amiril

Anugerah Pengurusan Laporan Pendapat Awam Terbaik: Pembantu Penerangan Pejabat Penerangan Temerloh, Pahang, Nol Ainilhayati Ibrahim

Anugerah Reka bentuk Infografik Terbaik: Pereka Bahagian Komunikasi,  Visual dan Senireka, Ibu Pejabat, Saiful Bahari Ahmad.

Anugerah Aktivis Media Sosial Terbaik JaPen: Pembantu Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Norlydiana Ishak

Anugerah Penceramah Terbaik JaPen : Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Mejar (K) Sabarudin Yeop Hamza

Anugerah Pegawai Berinovatif JaPen: Pembantu Penerangan Sarawak, Mohamad Hasif Masbok

Norlydiana Ishak menerima anugerah Aktivis Media Sosial Terbaik.
Mohamad Hasif Mosbok menerima anugerah Pegawai Berinovatif.