KUALA NERUS - “10 hari penuh kehibaan.” Itulah kata-kata yang dapat digambarkan Pegawai Pasukan Khas Pertahanan Awam (PA), Kapten Mohd Nizu Husin, 40, sepanjang mengikuti misi kemanusiaan di Palu, Sulawesi, Indonesia.

Jelas Mohd Nizu, meskipun telah 15 tahun menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan melalui pelbagai proses menyelamat, namun pengalaman di lokasi berkenaan merupakan detik yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya.

“Bayangkan tiga bencana sekali gus menimpa Palu, iaitu gempa bumi, tsunami dan pergerakan tanah hingga mengakibatkan beberapa buah kampung ranap.

“Apa yang berlaku di sana sukar untuk digambarkan dan sepanjang misi itu, perasaan sedih dan hiba bercampur mengenang nasib yang menimpa mangsa,” kata anak kelahiran Besut itu.

Pasukan penyelamat membuat tinjauan sebelum masuk ke kawasan bencana.

Mohd Nizu merupakan wakil tunggal APM Terengganu yang terpilih menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan di Palu, Sulawesi, Indonesia yang dianjurkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

“Sebenarnya peluang ke Palu ini merupakan pengalaman pertama saya menyertai misi kemanusiaan di luar negara.

“Ketika saya mendapat tawaran untuk sertai misi kemanusiaan di Palu dari ibu pejabat (APM), saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang.

“Ia kerana saya ikhlas untuk membantu dan menjadi pengalaman yang begitu berharga dalam hidup saya,” katanya yang juga merupakan bapa kepada empat cahaya mata.

Menurut Mohd Nizu, meskipun telah dua  minggu berlalu, namun sehingga kini beliau masih terbayang-bayang detik mencari dan menyelamat mangsa tsunami tersebut.

“Dalam banyak-banyak yang ditemui, mayat ibu dan anak kecil yang berpelukan dalam runtuhan rumah yang digenangi air antara pengalaman yang  masih terbayang sehingga kini.

Mohd Nizu (kanan) bersama rombongan dari Malaysia.

“Sehingga kini juga, masih lagi terbayang di matanya saat mengangkat keluar mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan yang kebanyakan hanya tinggal tulang.

“Kira-kira tujuh mayat yang telah mereput berjaya ditemui sepanjang 10 hari saya mengikuti misi berkenaan.

“Keadaan mayat yang kesemuanya telah reput itu juga perlu diangkat dengan berhati-hati,” katanya ketika ditemui di pejabat APM Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini.

Katanya, sebagai langkah keselamatan juga, pasukan penyelamat terpaksa memakai topeng atas faktor keselamatan bagi mengelakkan jangkitan.

Mohd Nizu merupakan antara 16 pegawai dan anggota APM seluruh negara dan 40 sukarelawan Mapim yang menyertai misi kemanusiaan itu bermula 14 hingga 25 Oktober lalu.