TINGGAL beberapa hari sebelum pengundian, BN boleh dikira sedang menempuh laluan selesa untuk menang PRK Sungai Besar. 

Seperti kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose ketika bersiaran langsung bersama saya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia TV1 pada hari penamaan calon, tidak perlu seseorang jadi penganalisis politik untuk membuat jangkaan bahawa BN akan menang mudah pada kedua-dua PRK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) melainkan jika berlaku sesuatu yang sangat luar biasa. 

Ini kerana perpecahan undi propembangkang kali ini sudah cukup untuk memberikan kelebihan kepada BN. 

Selain itu, calon BN di Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi sudah sedia miliki deposit sokongan dengan majoriti selesa ketika menang kerusi Dun Sungai Panjang pada PRU13. Majoriti 2,183 undi yang diperolehinya berbanding 399 undi untuk BN mempertahankan kerusi Parlimen oleh Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon, sekali gus membuktikan ramai pengundi mahukan Budiman untuk kerusi Dun tetapi memilih calon Pas, Mohamed Salleh M. Hussin untuk kerusi Parlimen. 

Justeru, apabila BN memilih Budiman sebagai calon PRK ini, ia adalah keputusan yang tepat. 

Berbanding Pas yang meletakkan Adun Meru, Dr. Abdul Rani Osman, pemilihannya telah membangkitkan seribu satu persoalan. Dalam Pas sendiri, ada pihak yang mempertikaikan pemilihan Abdul Rani sehingga ditimbulkan dalam perbahasan muktamar Dewan Ulamak Pas di Tok Bali, Kelantan 1 Jun lalu. 

Meskipun Naib Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor, Nik Bakri Nik Mat tidak menyebut nama Abdul Rani secara terang ketika membangkitkan isu itu, pembayang yang dibawanya jelas. Ini ketara apabila beliau mempersoalkan sama ada Pas mengguna pakai kaedah ‘pencuri lawan pencuri’ atau dalam istilah politik hari ini, ‘harumanis lawan harumanis’ dalam membuat keputusan memilih Abdul Rani yang diketahui mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin-pemimpin Amanah, DAP dan PKR. 

Ketika sesi penggulungan pada hari akhir muktamar, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli parti supaya bersikap wala’  pada keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulamak yang mempunyai kuasa muktamad untuk memilih calon pilihan raya setelah membuat pertimbangan atas senarai cadangan yang dibawa oleh Pas Kawasan, Negeri dan Dewan Harian Pusat.

Bagaimanapun, di peringkat akar umbi, cakap-cakap mengenai Abdul Rani tidak mudah untuk berhenti. Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pemilihan beliau, alasan Abdul Rani mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk mengekang asakan daripada Pakatan Harapan, sukar untuk diterima memandangkan Pas bukan hanya berhadapan dengan Amanah. Malahan pada ketika Pas mengumumkan nama Abdul Rani sebagai calon, Amanah belum pun ada keputusan sama ada mahu bertanding ataupun tidak.

Ini menunjukkan Pas, setidak-tidaknya pada dua PRK ini terlalu memberikan perhatian terhadap Amanah berbanding BN. Ini dengan sendirinya memberikan BN kelebihan apabila tidak perlu bekerja keras untuk menghadapi serangan daripada Pas, seteru politik tradisinya sejak sekian lama. 

Apa yang menarik, sikap Pas terhadap Umno/BN pada pilihan raya ini telah membawakan satu tanggapan kononnya ada ‘kautim’ antara pucuk pimpinan kedua-dua parti.

 Jika Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataannya semalam secara terang menuduh Presiden Pas nampak ‘dedak’ hingga berubah sikap begitu mesra terhadap pemimpin Umno, ada hujah yang lebih munasabah berlegar dalam kalangan pemerhati. 

Mereka mengandaikan isu ‘kautim’ ada kemungkinannya berdasarkan Pas memerlukan sokongan Umno untuk usul Rang Undang-undang Persendirian Akta 355 yang dibawa oleh Abdul Hadi di Dewan Rakyat baru-baru ini, diluluskan. 

Cadangan untuk usul itu dibentangkan yang asalnya berada di kedudukan 15 dalam senarai telah dipercepatkan dan dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerjaraya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin pada hari terakhir persidangan 26 Mei lalu.

Azalina kemudiannya menyatakan, beliau mendapat arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berbuat demikian. Ini seperti mengiyakan tanggapan bahawa ada ‘kautim’ antara Abdul Hadi dengan pemimpin-pemimpin utama parti kerajaan. 

Sebagai pemimpin yang sudah puluhan tahun bergelumang dalam perjuangan Pas sejak zaman muda dan  telah beberapa kali pula hajatnya untuk membentangkan RUU itu tidak kesampaian, Abdul Hadi mungkin sanggup berbuat apa sahaja untuk merealisasikan apa yang beliau dan partinya perjuangkan. 

Tambahan pula, selagi usul itu tidak dibentangkan, selagi itu akan terus berkumandang cercaan kononnya Pas telah dipermainkan oleh Umno/BN dalam isu RUU. Lagipun, apalah sangat PRK untuk dua kerusi yang sudah sedia dimiliki BN dan tidak akan mengubah apa-apa kedudukan dalam kerajaan berbanding legasi yang akan ditinggalkan jika RUU itu diluluskan. 

Akan hal ‘kautim’ ini hinggakan sesetengah pemerhati mengandaikan keputusan meletak Abdul Rani yang disifatkan sebagai bukanlah  winnable candidate di Sungai Besar juga adalah sebahagian daripada pelan. 

Meskipun tanggapan ini tidak dapat dipastikan namun itulah persepsi yang berlegar. Apa yang pasti, dalam keadaan BN selesa memecut ke garisan penamat, Pas pula yang sebaliknya teruk menghadapi serangan bertali arus daripada Amanah dan DAP.

Amanah nampaknya begitu bersungguh-sungguh mahu melunyaikan Pas di kedua-dua PRK dengan pelbagai bentuk serangan tanpa henti. DAP sebagai ‘abang besar’ parti itu pula bukan sekadar membantu bahkan seperti berkempen untuk calonnya sendiri. Inilah kali pertama pemimpin-pemimpin DAP turun berkempen memakai baju parti sekutunya.

Dalam koalisi yang sebelum ini, hal yang seperti ini tidak pernah berlaku bukan sahaja kepada DAP malah mana-mana parti. Seperti Pas, Amanah juga begitu memberikan perhatian terhadap lawan yang pernah sekamar dengannya. Ini benar-benar memberikan BN kelebihan. Amanah meskipun berjaya membawa turun Dr. Mahathir untuk berkempen, ia tidak akan membawa sebarang impak sokongan. Mereka hanya mampu mendapat sorakan yang tidak akan diterjemahkan dalam bentuk undi.

Dalam kata lain, di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, peri bahasa lama ‘gajah sama gajah bertelagah, pelanduk mati di tengah-tengah’ tidak boleh dipakai lagi kerana ada peri bahasa baharu  di sini iaitu ‘pelanduk sama pelanduk bertelagah, gajah ketawa berdekah-dekah’.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memerlukan tempoh satu jam secara langsung di mana-mana stesen televisyen tempatan untuk menjelaskan kontroversi 'Amanat Hadi' hingga dikaitkan dengan tragedi berdarah Memali pada 1985.
  • SHAH ALAM - Pas menggesa satu Suruhanjaya DiRaja dibentuk bagi mengkaji tragedi Memali.
  • SHAH ALAM - Pendirian Pas tegas bahawa isu hutang dan aliran wang 1MDB ini adalah suatu yang mesti disiasat secara telus dan menyeluruh bagi menghukum semua individu atau pihak yang disabit salah.
  • FIRMA pelaburan negara milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah lama mencemar imej negara dan mencalar perasaan seluruh rakyat Malaysia.
  • SHAH ALAM - Pusat Penyelidikan Pas (PPP) mengingatkan semua pihak termasuk individu dalam bidang perundangan tidak membuat sebarang keputusan yang boleh mencabar kesabaran umat Islam di negara ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.