COX’S BAZAR - Kelaparan hingga sanggup makan belon dan jeli daripada tuala wanita.

Itu situasi yang berlaku membabitkan pelarian Rohingya yang tinggal di Kem Balukhali, Bangladesh.

Keadaan itu menyebabkan Yayasan Ikhlas dan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) terpanggil melaksanakan misi bantuan kemanusiaan di enam kem pelarian Rohingya, dalam misi selama enam hari bermula 23 Januari lalu.

Kunjungan tiga sukarelawan itu, dibuat di Kem Balukhali 1, Balukhali 2, Gundhum 2, Gundhum 3, Jamtoli dan Kutupalong.

Antara bantuan yang disampaikan pihak yayasan.

Lebih 1,200 pek makanan disampaikan kepada pelarian Rohingya, termasuk bantuan perubatan yang dijalankan dengan kerjasama Chittagram International Medical College (CIMC) yang berpusat di Chittagong.

Ketua Misi, Abdul Rahman Iskandar  berkata, keadaan pelarian Rohingya sangat daif dan hidup dalam kelaparan.

Katanya, apabila diberi belon, kanak-kanak berebut dan ada antara mereka yang memasukkan ke dalam mulut seolah-olah ingin memakannya.

“Mereka sangat lapar, mereka hanya berlegar di kawasan kem dan mengharap simpati orang ramai. Situasi itu bukan sehari, tetapi setiap hari.

“Paling menyedihkan, saya diberitahu ada saudara Rohingya terpaksa makan jeli daripada tuala wanita. Bukan mereka tidak tahu atau tidak berpendidikan sehingga tidak tahu itu tuala wanita, tetapi mereka sangat lapar,” katanya dan mengakui pelarian juga tidak dibenarkan keluar mahupun bekerja dari kawasan kem.

Sebanyak enam  klinik dibuka di semua kem berkenaan yang menempatkan 13  doktor  dihantar dari CIMC.

Sukarelawan, Dr Nujaimin Udin berkata, pihaknya hanya mampu memberi bekalan ubat-ubatan kepada mereka yang sakit di sana.

“Di sini, kita tak boleh buat apa-apa. Budak yang demam walau lebih dari 19 hari, kita hanya mampu beri ubat saja. Rata-rata bayi yang baru lahir ada jangkitan tali pusat (infected umbilical stump). Kalau di Malaysia, dah tentu mereka ni dah kena tahan wad.

Sukarelawan bergambar kenangan bersama pelarian Rohingya.

“Kami dibawa masuk ke  empat kem sahaja. Boleh kata setiap klinik yang dibuka di setiap kem akan dikunjungi lebih kurang 200 orang Rohingya yang sakit untuk terima rawatan,” katanya.

Kumpulan tersebut turut menyerahkan sebanyak 400 helai selimut  kepada keluarga pelarian di Kem Balukhali 2 dan Balukhali 1.

Seorang lagi sukarelawan,  Syafiq Syahmi berkata, sebaik tiba di Dhaka, Bangladesh, suhu malam mencecah 18 darjah Celcius.

“Pernah suhu malam di kem pelarian Rohingya mencapai lapan darjah Celsius, manakala pagi dalam 18 darjah Celsius. Ditambah lagi keadaan rumah yang beratapkan plastik, berlantaikan tanah.

“Saya masuk ke dalam rumah mereka, memang tak ada apa-apa. Mereka baring dan tidur di atas tanah menggigil kesejukan,” katanya.

Anak-anak yang dirawat sukarelawan.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, sejak awal Januari tahun lalu, pihaknya sudah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan, bermula dengan sumbangan selimut untuk musim sejuk; diteruskan dengan pembinaan telaga tiub atau dipanggil pam air; pembinaan surau dan madrasah; sumbangan makanan iftar di lima kawasan sepanjang Ramadan, seterusnya agihan daging korban ke dalam kawasan kem.

Beliau berkata, setakat semalam, jumlah yang telah disampaikan adalah RM227,500.00,” katanya.

Serentak itu, Yayasan Ikhlas amat mengharapkan sumbangan orang ramai untuk turut sama membantu meneruskan misi kemanusiaan terhadap etnik minoriti Islam tersebut.