KANGAR - Kerajaan Perlis akan memberi fokus pada pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di luar bandar selain menarik pelaburan asing ke negeri ini dalam Belanjawan Negeri 2019 yang akan dibentangkan bulan depan.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata bagi mencapai hasrat itu kerajaan negeri akan mengambil pendekatan lebih agresif untuk menarik pihak swasta menjadi peneraju aktif dalam pembangunan negeri.

“Kerajaan negeri bagaimanapun mengharapkan kerajaan Persekutuan membiayai beberapa projek untuk menarik penglibatan sektor swasta,” katanya bagi mengulas Belanjawan Negeri 2019 yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri selama tiga hari bermula 11 Disember.

Semasa ditemui pemberita di Hotel Putra Regency di sini hari ini, Azlan juga berkata kerajaan negeri tetap dengan pendirian menolak penanaman ketum walaupun dilaksanakan untuk tujuan komersial.

Katanya, penanaman tumbuhan itu tidak membantu usaha membanteras penyalahgunaan dadah malah boleh menyebabkan isu penagihan ketum menjadi tidak terkawal. -Bernama