MAKKAH - Setelah menunda tawaran mengerjakan ibadah haji sebanyak dua kali sebelum ini, Tukimin@Jasmin Tumin, 65, nekad tidak mahu melepaskan peluang ke Tanah Suci sekiranya diberikan peluang sekali lagi.

Justeru, setelah namanya terpilih untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu tahun ini, pengusaha kedai sejuk beku dari Tenom, Sabah, itu terus menerimanya untuk berangkat ke Tanah Suci Makkah ini.

Katanya kali pertama beliau menolak peluang mengerjakan ibadah haji adalah pada 1993 manakala kali kedua, dua tahun lepas.

"Mengikut tarikh giliran diberikan Tabung Haji (TH), saya sepatutnya pergi pada 2018, namun sudah tertulis rezeki saya dipanggil sebagai tetamu Allah SWT lebih awal,” katanya ketika ditemui pemberita di maktab penginapannya di Hotel Land Premium di sini.

Tukimin berkata beliau bukan sengaja menolak tawaran melakukan ibadah haji itu, sebaliknya dia mahu menyelesaikan hasratnya membina sebuah pusat tahfiz untuk anak-anak penduduk kampungnya di Kampung Angan-Angan, Tenom.

"Pada masa itu (ketika menolak tawaran melakukan haji), saya bercadang mewakafkan tanah milik  keluarga kira-kira dua ekar di kampung untuk membina pusat tahfiz dikenali Madrasah Maahad Tahfiz Hasanah bagi pelajar sekolah menengah.

"Ketika itu, saya sedang berusaha mengumpul dana bagi membina pusat berkenaan tetapi sehingga kini belum berhasil. Maklumlah saya bukannya jutawan tetapi saya tetap akan berusaha mencapai hasrat itu,” katanya.

Tukimin berkata, peluang berada di Tanah Suci ini akan digunakan sebaiknya termasuk berdoa di hadapan Kaabah semoga usahanya itu dimakbulkan ALLAH SWT.

“Selain mahu memperoleh haji mabrur, saya juga akan berdoa di hadapan Kaabah supaya usaha dan matlamat saya ini dimakbulkan," kata beliau yang ditemani isterinya Mariam Kabun, 64, di Tanah Suci ini.

Tukimin berkata dia menyimpan hasrat membuka pusat tahfiz berkenaan supaya anak-anak penduduk di kampungnya serta kampung sekitar mendapat ilmu dan pendidikan agama yang sempurna.

"Saya dapati pusat tahfiz untuk anak-anak sekolah rendah agak banyak tetapi yang sekolah menengah masih kurang. Inilah sedekah jariah yang saya usahakan bersama isteri sebagai saham akhirat kami," kata bekas anggota polis ketika era konfrontasi itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MAKKAH - ARAB SAUDI. Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang diberikan kemudahan dalam program pra-pelepasan jemaah haji, amat berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan kerajaan Arab Saudi itu, dan berharap inovasi berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang.
  • MAKKAH - Malaysia menghargai peng­iktirafan kerajaan Arab Saudi yang memilih Malaysia sebagai negara pertama di dunia dalam melaksanakan program prapelepasan jemaah haji dan berharap inovasi itu dapat diteruskan pada musim haji akan datang.
  • MAKKAH - ARAB SAUDI. Dalam tempoh tidak sampai seminggu sebelum jemaah haji dari seluruh dunia bergerak untuk Hari Wukuf, pelbagai persiapan dibuat termasuk oleh jemaah Malaysia bagi memastikan mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
  • MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) meminta jemaah haji Malaysia dan rakyat di tanah air supaya tidak mempercayai mesej yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas, berhubung tarikh penetapan Hari Wukuf yang kononnya pada Jumaat, 1 September.
  • MAKKAH - ARAB SAUDI. Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan perkhidmatan terbaik termasuk menyediakan khidmat doktor pakar bagi memastikan jemaah haji Malaysia dapat menyempurnakan ibadah haji dengan sempurna.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.