SHAH ALAM - Bekas Pelajar Kolej Melayu mengadakan satu forum bagi membincangkan hala tuju negara.

Presiden Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu (MCOBA), Tunku Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan berkata, forum yang bertajuk Hala Tuju Malaysia Pasca PRU14 adalah inisiatif bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dengan kerjasama pihaknya.

Menurutnya, idea penganjuran itu timbul atas kesedaran isu dan persoalan yang melanda negara boleh diperbincangkan dalam kalangan bekas pelajar MCKK walaupun mereka mempunyai fahaman politik berbeza.

“Justeru, beberapa bekas pelajar yang sekarang ini adalah pemimpin di dalam organisasi masing-masing telah dijemput sebagai panel forum iaitu Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad; Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengarah Strategi Pilihanraya Amanah, Dr Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad,” katanya kepada Sinar Harian pada forum yang berlangsung di Dewan Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Dalam forum tersebut, beberapa ahli parlimen, Adun dan tokoh korporat turut hadir untuk mengikuti isu-isu yang dikupas mengenai masa depan negara.

Mengulas lanjut, Tunku Ahmad Burhanuddin berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan yang bersejarah di negara ini, MCKK telah melahirkan ramai pemimpin negara, sama ada dalam bidang politik mahupun perniagaan.

“Sambutan forum ini amat menggalakkan. Pihak penganjur telah menerima banyak soalan secara atas talian seminggu sebelum forum diadakan dan ia datang daripada bekas pelajar pelbagai peringkat umur.

“Forum ini sebenarnya boleh dilihat sebagai kesinambungan daripada siri perbincangan telah diadakan saban tahun.

"Cuma kali ini, ia berbentuk pelbagai parti. Semua ini menunjukkan bekas pelajar MCKK prihatin dengan apa yang berlaku dalam negara dan berusaha mencari satu platform untuk membincangkannya agar Malaysia boleh terus bergerak ke hadapan,” katanya.