SERDANG -  Timbalan Ketua Pengarang portal berita Agendadaily, yang juga bekas anggota Parlimen Hulu Langat Datuk Badrul Hisham

Abdul Aziz, 53, meninggal dunia di Hospital Serdang pada pukul 3.30 petang ini.

Isterinya Datin Noraini Ahmad berkata arwah mengadu sesak nafas secara tiba-tiba semasa berada di rumah pada kira-kira pukul 3 petang.

Beliau yang ditemui di luar bilik mayat Hospital Serdang berkata suaminya kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapat rawatan, dan meninggal dunia  sejurus tiba.

Anaknya Ilyas Fadzli, 19, ketika ditemui Bernama berkata bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Tangkas, Bangi pada pukul 10 pagi esok.

Sementara itu anak saudara Allahyarham, Kamarul Syahid, 33, pula ketika ditemui berkata Allahyarham adalah seorang yang mesra, penyayang dan sentiasa mengambil berat mengenai saudara-maranya.

"Kalau nak cakap mengenai masalah atau apa sahaja, sama ada berkaitan politik dan sebagainya beliau langsung tidak kisah, pakcik saya sentiasa sudi mendengarnya," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak yang berusia  antara 19 dan 30 tahun, serta dua orang cucu.

Beliau pernah menjadi anggota Parlimen selama dua penggal selepas memenangi pilihan raya pada 1995 dan 1999. – Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.