KUALA LUMPUR - Kesepakatan Malaysia dan Indonesia untuk membebaskan nelayan kedua-dua negara yang ditahan atas kesalahan menceroboh perairan ketika menangkap ikan menunjukkan persahabatan erat antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, kata sepakat itu membuktikan kedua-dua pemimpin itu mempunyai persefahaman tinggi dan hubungan persahabatan yang sukar dipisahkan.

"Hasil hubungan baik Malaysia dan Indonesia membolehkan persefahaman ini dicapai dengan penyelesaian yang memuaskan hati kedua-dua pihak.

"Keprihatinan Perdana Menteri Malaysia terhadap golongan nelayan turut dipersetujui oleh  Presiden Jokowi yang mengatakan bahawa golongan nelayan adalah golongan yang memerlukan bantuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Irmohizam berkata rundingan sedemikian sukar dicapai jika persahabatan kurang memuaskan  antara satu negara dengan negara lain dan persefahaman tersebut membuktikan kerajaan tidak mengabaikan rakyat yang dalam kesusahan.

Berikutan keputusan itu, kumpulan pertama nelayan Malaysia terdiri daripada Mohd Firdaus Mohamad, 27, dan Mohd Zaidi Mohammad, 23, dibebaskan selepas ditahan selama tujuh bulan kerana menceroboh perairan Indonesia, berhampiran Pulau Natuna  pada 8 April lepas.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :