KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya beliau memberikan persetujuan kepada Ketua Pemuda Bersatu Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abd Karim, untuk memungut wang daripada penjaja Bazar Ramadan di Bukit Bintang.

Beliau yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, berkata, tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau maklumat mengenai isu berbangkit.

“Pada 31 Mei lalu, Noorhisyam telah hadir ke pejabat saya di Pusat Perkhidmatan Parlimen Bukit Bintang dengan menyatakan dirinya mewakili 80 peniaga kecil Melayu yang memerlukan bantuan untuk menubuhkan bazar Ramadan.

“Oleh itu, saya telah meminta pusat perkhidmatan Bukit Bintang untuk mengeluarkan surat pada 31 Mei kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk pertimbangkan perkara ini.

“Kemudian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membalas permohonan Noorhisyam pada 5 Jun dengan memberikan salinan surat untuk penganjuran bazar di lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India,” katanya, pagi tadi.

Kui Lun berkata, bagi kedua-dua pilihan itu, DBKL menyatakan surat itu memerlukan pengesahan dan kelulusan bertulis daripada beliau untuk mengesahkan lokasi serta nama penjaja yang disenaraikan.

Bagaimanapun, katanya, beliau telah menerima panggilan daripada seorang individu mendakwa beliau telah memberikan surat sokongan kepada Noorhisyam untuk mengutip wang daripada penjaja.

“Saya tidak mempunyai sebarang maklumat sama ada Noorhisyam telah mengutip wang daripada mana-mana pihak dan saya juga tidak pernah bersetuju dengan apa-apa pengutipan wang untuk lot bazar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebarang urusan membabitkan lot Bazar Ramadan perlu dijalankan secara langsung dengan peniaga dan bukannya menerusi orang tengah seperti wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita mahu peniaga diberi peluang secara adil. Perkara ini sudah dicadangkan kepada DBKL. Kita harap selepas ini tidak wujud lagi permasalahan membabitkan lot berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula menggesa DBKL memohon maaf kepada Kui Lun dalam isu membabitkan bazar Ramadan berkenaan.

Ini berikutan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain mendakwa dipaksa meluluskan permohonan lot bazar berkenaan kepada Noorhisyam selepas menerima surat sokongan daripada Kui Lun.

“Adakah sesiapa memaksa beliau (Anwar) dengan cara tertentu untuk meluluskan surat itu, jika benar sila tampil ke hadapan dan beri penjelasan. Saya juga harap Anwar tampil meminta maaf kepada Kui Lun secara terbuka,” katanya.

Kelmarin, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan skandal salah guna kuasa dan penyelewengan tapak bazar Ramadan.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan bagi mendapatkan 80 tapak bazar di Jalan Masjid India pada Ramadan lalu.

Difahamkan, tapak bazar itu kemudian disewakan semula sehingga RM5,000 bagi satu lot dan dianggarkan penganjur mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.