KUANTAN - “Siang malam makcik menangis, mengenangkan bayaran yang sehingga kini masih tak dilunaskan pengusaha bauksit,” demikian rintihan seorang peneroka Felda Bukit Goh, Halimah Kadir, 70.

Dia yang memutuskan untuk memajakkan ladang kelapa sawit seluas 4 hektar miliknya setahun lalu mengakui amat sedih dan terkilan dengan tindakan pengusaha bauksit yang gagal membayar pajakan kepadanya.

Difahamkan, bayaran itu sepatutnya diterima peneroka terbabit secara bulanan atau berperingkat apabila kerja-kerja pengorekan bauksit dijalankan di tanah miliknya itu.

Halimah berkata, mengikut perjanjian, bayaran perlu dijelaskan Secara berperingkat sehingga kerja perlombongan bauksit selesai.

“Kalau ikut perjanjian, makcik ada terima bayaran hasil pajakan tanah itu tapi makcik tak dapat bayaran seperti dijanjikan.

“Setiap bulan makcik tunggu, tapi sampai sekarang satu sen pun makcik tak terima.

“Bila makcik telefon pengusaha minta wang, mereka kata bulan depan akan buat bayaran, selepas itu terus diamkan diri,” katanya.

Warga emas itu berkata, dia tidak menyangka akan diperlakukan seperti itu selepas perjanjian pajakan tanah kelapa sawit miliknya itu ditandatangani pada Oktober 2014.

Menurutnya, menerusi perjanjian tersebut, kerja pengorekan dilakukan lebih setahun dan pengusaha memberikan wang deposit sebanyak RM50,000 kepadanya sebagai permulaan.

“Kalau makcik tau begini jadi, makcik tak akan benarkan tanah sawit makcik digunakan untuk lombong bauksit.

“Tapi bila mereka datang berulang kali dan beri tawaran lumayan, makcik terima sebab nak ubah nasib anak-anak.

“Setahun lebih makcik tunggu, bauksit dah dikorek pengusaha, tetapi bahan itu tak diangkut, malah dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia kecewa dengan sikap pengusaha yang lepas tangan dan membiarkan dia sekeluarga dihimpit kemiskinan malah dia terpaksa meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada anak.

Katanya, dia kini disara anaknya dan turut berniaga untuk menampung kehidupannya.

Halimah berkata, sebelum ladang kelapa sawitnya dipajak untuk perlombongan bauksit, dia memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Katanya, bagaimanapun kini dia mengharapkan wang pajakan tanah itu memandangkan pokok kelapa sawit di ladangnya sudah ditebang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUCHING - Kerajaan tidak menolak kemungkinan akan melanjutkan lagi tempoh moratorium atau penggantungan ke atas semua kegiatan perlombongan bauksit di Pahang yang akan berakhir pada 31 Disember tahun ini.
  • PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bersama agensi-agensi berkaitan akan mempertingkatkan operasi bersepadu bagi menguatkuasakan moratorium ke atas aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Kuantan.
  • KUANTAN - Tempoh moratorium aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini, akan dilanjutkan sehingga selesai PRU14 akan datang, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
  • PUTRAJAYA - Moratorium terhadap aktiviti perlombongan bauksit di Pahang dilanjutkan tiga bulan lagi iaitu sehingga 30 Jun, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
  • KUANTAN - Pengusaha bauksit yang masih menjalankan proses pengosongan stok simpanan bahan mineral itu di kawasan sekitar Bukit Goh digesa menyediakan sebuah pusat mencuci kenderaan di kawasan berhampiran bagi mengelak pencemaran di sepanjang laluan hingga Pelabuhan Kuantan.