SHAH ALAM - Perkembangan teknologi dan kecanggihan sistem komunikasi serta maklumat memberi ruang cukup besar kepada penciptaan dan kemunculan dadah psikoaktif baru dalam pasaran.

Ia antara cabaran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha membasmi masalah dadah sekali gus memastikan Malaysia bebas dadah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Halim Husin berkata, kemunculan dadah baru atau new psychoactive substances (NPS) menjadikan ia mudah didapati.

“Dengan teknologi moden, bahan yang biasa digunakan dalam industri dan rumah mudah diperolehi dan diproses menjadi NPS, yang lebih efektif dan mendapat permintaan.

“Dadah NPS bukan lagi diseludup, tetapi diproses dalam sistem pasaran setempat dengan menggunakan bahan-bahan kimia precursors yang mudah diperolehi dalam negara,” katanya.

Menurutnya, agensi itu juga menghadapi cabaran, khususnya melibatkan penawaran dadah yang semakin meningkat kerana dianggap perniagaan lumayan.

Katanya, bekalan dadah dalam pasaran berkait rapat dengan hukum penawaran dan permintaan, penentuan harga dan taraf ekonomi pengguna, akses kepada kebolehdapatan dadah secara sah atau tidak sah dan sumber dadah dalam sistem rangkaian sosial.

“Isu ini merujuk kepada kadar kebolehdapatan dadah dalam pasaran dari segi ekonomi, peruncitan dan sosial sesebuah negara dan masyarakat.

“Faktor-faktor penentu yang boleh mempengaruhi kebolehdapatan bekalan dadah ini termasuk penguatkuasaan, norma dan peraturan dalam sesuatu komuniti, promosi dan faktor individu.

“Isu penawaran dilihat sebagai satu gerakan yang amat kuat kerana faktor asasnya adalah perniagaan dadah merupakan sebab perniagaan yang amat lumayan,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, pada masa sama, faktor risiko sedia menanti yang mempengaruhi tahap permintaan, interaksi antara kedua-dua fenomena ini punca kepada kelestarian episod penagihan yang berpanjangan, justeru memerlukan intervensi non konvensional.

Mengulas lanjut cabaran yang dicuba ditangani AADK, Abd Halim berkata, penagihan dadah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak semakin meningkat dan ia  membimbangkan.

“Penagihan dadah dalam kalangan remaja dan kanak-kanak perlu diberi perhatian serius kerana kadar umur mula menyalahgunakan dadah dalam kalangan kanak-kanak yang direkodkan semakin menurun, iaitu 7 tahun.

“Sehingga kini, bilangan penagihan dadah dalam kalangan remaja adalah semakin meningkat dan rekod AADK telah menunjukkan peningkatan jumlah remaja yang ditangkap perbandingan antara tahun 2016 dan 2015,” katanya.

Menurutnya, pendedahan awal kanak-kanak dan remaja kepada dadah, di samping wujudnya faktor-faktor risiko seperti dadah mudah diperolehi, tingkah laku antisosial, ahli keluarga yang mempunyai sejarah penagihan, kegagalan dalam akademik, merokok, konflik dalam keluarga dan masalah ekonomi keluarga, memberi ruang dan lebih kebarangkalian mereka menggunakan dadah pada usia awal.

Ahmad Zahid meninjau pelaksanaan kaedah rawatan dan pemulihan pendekatan agama di pusat Cure & Care Rehabilitation Centre Sg Ruan, Pahang.

Di samping itu katanya, AADK turut berdepan cabaran dalam membantu pemulihan penagih tegar yang berkait langsung dengan keparahan penagihan dan tempoh dadah digunakan.

Hal ini kerana, penggunaan dadah secara kompulsif dan pergantungan kepada dadah memberi kesan amat ketara kepada sistem saraf pusat (otak) yang mengawal corak pemikiran perasaan dan tingkah laku pengguna dan mewujudkan satu keseimbangan baru (homeostatis) yang menjadikan dadah sebagai salah satu bahan keperluan tubuh.

“Penggunaan dadah akan menjadi keperluan untuk hidup dan berfungsi secara normal. Walaupun pada peringkat awal, penggunaan dadah memberi kesan yang menyeronokkan, namun rutin penggunaan akan berubah menjadi tingkah laku penagihan yang mesti diteruskan bagi mengelak daripada mengalami kesakitan.

“Penglibatan individu dalam dunia penagihan yang lama, secara tidak langsung akan merencatkan fungsi dan sistem sosial mereka. Mereka akan mewujudkan budaya mereka sendiri dan membentuk corak dan fungsi berbeza bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam masyarakat,” katanya.  

Tambah Abd Halim, keadaan ini memberi kesan kepada prospek dan keupayaan untuk memulih dan mengembalikan semula mereka ke dalam sistem hidup normal dan mereka lebih cenderung memilih nilai dan cara hidup yang lama serasi dengan mereka dan meneruskan pengambilan dadah (relaps).  

“Antara sebab ketegaran ini adalah kerana mereka tidak merawat di awal penagihan hingga menjadikan penagihan sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, AADK akan terus komited dan terus melaksanakan advokasi serta mengajak mereka yang bergantung kepada dadah untuk mendapatkan rawatan dan pemulihan memandangkan kos lebih efektif daripada tidak mendapatkan rawatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.